Kampus & Pendidikan 06 Sep, 2024

Tahniah! Dua pelajar USIM raih tempat pada Ihtifal IPT Kebangsaan! Pertandingan pidato dan seni khat!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this


Penyertaan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Najmi Adli Mustaffa dalam Ihtifal Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Peringkat Kebangsaan 2024 membuahkan hasil apabila berjaya dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan Pidato Hal Ehwal Islam.

Ihtifal Institut Pendidikan Tinggi Peringkat Kebangsaan merupakan penganjuran kali kedua oleh Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dan Sahabat Pusat Islam Universiti (UIC) serta sokongan dan kerjasama beberapa agensi diadakan selama empat hari bermula 21 Julai hingga 24 Julai 2024.



Najmi Adli Mustaffa, pelajar tahun ketiga Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan yang juga pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM menyifatkan bahawa kemenangannya pada kali ini dengan berbekalkan keazaman yang tinggi.

“Demi minat mendalam terhadap bidang pengucapan awam ia telah membakar semangat untuk saya berusaha gigih walaupun pertandingan diadakan dalam tempoh peperiksaan semester. 

"Pusingan akhir jauh lebih mencabar kerana saya perlu mengolah teks sedia ada dalam tempoh masa yang agak singkat serta perlu bersiap sedia bagi sesi pidato spontan berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh juri,” katanya. 

Ujar Najmi bersyukur dan gembira atas kemenangan ini dan setidaknya memberi suntikan semangat serta harapan untuk yakin dan percaya dengan kemampuan diri juga rezeki kurniaan Allah SWT. 

Tambah beliau, ini merupakan penyertaan kali kedua dalam Ihtifal IPT peringkat kebangsaan setelah mampu melayakkan diri sebagai finalis namun gagal memperoleh kedudukan pada pusingan akhir pada penganjuran terdahulu. 

Pertandingan Pidato Hal Ehwal Islam kategori lelaki menyaksikan 15 penyertaan daripada pelbagai institut pengajian tinggi.

Tempat kedua dimenangi Mohammad Nadzrin Raduan daripada Kolej Yayasan UEM dan tempat ketiga Iskandar Muzafar Zalzali daripada Maahad Tahfiz Negeri Pahang.



Selain itu, Nur Azizah Ahmad Azam, pelajar tahun 3 Fakulti Syariah dan Undang-Undang daripada kumpulan Khat Khufi Farisi juga daripada Kelab Penerbitan Kreatif berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan buat kali kedua bagi Pertandingan Seni Khat. “Alhamdulillah ini merupakan penyertaan kali kedua saya dalam Ihtifal IPT dan saya amat bersyukur kerana karya yang dihasilkan masih mendapat tempat dalam pertandingan ini," katanya.

Persaingan agak sengit kerana kebanyakan peserta mempunyai kehandalan dan berpengalaman. Walau bagaimanapun, dia bersyukur dengan kejayaan ini namun tidak boleh merasa selesa dan perlu pertingkat lagi kaedah serta kemahiran penulisan khat supaya dapat terus mengekalkan momentum di pertandingan akan datang.

Tempat pertama pertandingan seni khat Ihtifal IPT kategori Perempuan dimenangi Nik Maghfirah Nik Abdul Rahman Zaki daripada Darul Quran dan tempat ketiga Nurulsuhaila Amran daripada Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN).

Selain Pertandingan Pidato Hal Ehwal Islam dan Seni khat beberapa acara lain turut dipertanding antaranya tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan nasyid. - KitaReporters/USIM


9
9
0
20
0
You will be interested