

Pasukan robotik Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan mencipta sejarah apabila berjaya membawa pulang anugerah emas dalam Kejohanan International Robot Olympiad (Olimpiad Robot Antarabangsa atau IRO) 2025 yang berlangsung di Busan, Korea Selatan pada 16 hingga 21 Januari 2025 lalu.
Kejayaan ini disambut dengan penuh meriah dalam satu majlis kepulangan yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, wakil Petrosains dan Ahli Parlimen Pekan yang memberi penghargaan atas usaha dan dedikasi pasukan ini.


Mereka sedang menyiapkan robot mereka.

Sokongan dan galakan daripada semua pihak ini dianggap sebagai elemen penting yang menyumbang kepada kejayaan pasukan.
Guru pembimbing pasukan Mohd Zulkhairi Umar melahirkan rasa syukur atas kejayaan ini dan menegaskan bahawa ia adalah hasil kerja keras serta semangat kolaboratif murid-murid dalam menghasilkan idea inovasi robot yang cemerlang.
Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama berpasukan dan juga bantuan secara langsung dan tidak langsung daripada komuniti setempat, badan-badan korporat dan juga dari individu sacara langsung dan tidak langsung.


Kejohanan IRO 2025 yang berlangsung di Busan, Korea Selatan menyaksikan penyertaan lebih 3,400 peserta dari 20 negara, menjadikan kemenangan ini satu pencapaian luar biasa bagi Malaysia. - KitaReporters

