Kampus & Pendidikan 14 Jul, 2023

Syabas! 311 penyelidik UMT dirai! Majlis Apresiasi Penyelidikan, Inovasi 2023! Kali pertama diadakan!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this

Dr Rabiu Mu'azu Musa terima tiga anugerah daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin.


Oleh Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu


Majlis Apresiasi Penyelidikan dan Inovasi 2023 (MAPI 2023) buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf, meraikan serta menghargai 311 orang penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang cemerlang sebagai penerima anugerah.

Acara penghargaan itu merupakan program julung kali diadakan oleh universiti itu dan akan diadakan secara dwitahunan bermula 2023. 

UMT melalui jabatan seliaanya iaitu Pejabat Pengurusan Penyelidikan (PPP) dan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) menyasarkan peluang penyelidikan bagi mencari potensi khusus berkaitan bidang-bidang kepakaran dimiliki universiti itu selain mengiktiraf kecemerlangan ahli penyelidik UMT dalam usaha melonjakkan nama dan citra UMT melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI).


Penerima Anugerah Terbaik Geran Penyelidikan 2022, Prof Madya Ts Dr Ma Nyuk Ling.

Prof Dr Meisam Tabatabaei terima Anugerah Terbaik Penerbitan 2021 dan 2022.


Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar menerusi teks yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata pihaknya meluluskan dana berjumlah RM3 juta setiap tahun khas untuk aktiviti penyelidikan.

“Saya juga ingin mengambil peluang di sini untuk memaklumkan bahawa Dana Khas Teras Penyelidikan dan Inovasi dinaikkan kepada RM3 juta setiap tahun untuk meningkatkan pencapaian RDCI UMT," katanya. 

Katanya lagi, UMT telah berjaya melangkaui prestasi kelompok universiti yang kurang daripada 15 tahun usia penubuhan.

“UMT juga telah berjaya mencapai 5 bintang dalam penarafan SETARA untuk Emerging University (< 15 tahun penubuhan) dan alhamdullilah, kita telah mendapat 6 bintang pada tahun 2021. 

"Ini semuanya hasil daripada komitmen dan kerjasama warga UMT cemerlang," tegas beliau.


Wendy Wee pemenang Anugerah Terbaik Penerbitan Penulis Aktif Buku Penyelidikan.

Tambahnya, segala penemuan baharu hasil aktiviti penyelidikan dan inovasi perlu dikembangkan ke peringkat seterusnya agar boleh dimanfaatkan.

“Para penyelidik UMT seharusnya telah bergerak ke arah pengkomersialan yang merangkumi produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di mana harta intelek yang didaftarkan dapat diterjemahkan kepada pengkomersialan yang memberi nilai tambah penjanaan kepada universiti, masyarakat dan industri.


Pemenang Anugerah Khas Kategori MyRAPTj Terbaik dimenangi oleh Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan.

MAPI 2023 memperkenal enam kategori anugerah iaitu Anugerah Geran Penyelidikan, Anugerah Penerbitan, Anugerah Inovasi, Anugerah Terbaik dan Anugerah Khas.

Majlis penuh berprestij itu menyaksikan 19 penyelidik paling aktif yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan, sitasi dan penerbitan jurnal serta nilaian geran penyelidikan penerbitan yang tinggi sebagai penerima Anugerah Terbaik.

Manakala Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) berjaya meraih Anugerah Khas sekali gus diumumkan sebagai pusat penyelidikan yang berjaya menerima hadiah berbentuk geran penyelidikan bernilai RM100,000.00 atas pencapaian cemerlang memperolehi markah melebihi penanda aras bagi penarafan MyRA yang telah diaudit pada tahun 2022. - KitaReporters/UMT


 

11
14
0
15
0
You will be interested