Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sentiasa menyokong penuh aktiviti kerjasama dengan pelbagai pihak terutama bagi program yang dapat memberikan impak kepada komuniti.
Terkini, seramai 39 orang jurulatih telah
dianugerahkan sijil sebagai jurulatih pemulihan yang bertauliah pada Majlis
Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah atau Certified Recovery Coach (CRC) 2.0
bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).
Bertepatan dengan aspirasi USIM Cemerlang, USIM Disayang, program latihan jurulatih pemulihan bertauliah ini direka untuk individu dalam kalangan masyarakat sama ada bekas pengguna atau bukan, yang ingin membina pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pemulihan ketagihan bahan terlarang seperti dadah.
Jurulatih yang ditauliahkan ini akan membantu menangani isu serta masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat sebagai salah satu usaha untuk mewujudkan masyarakat yang lebih bertamadun dan harmoni.
Naib Canselor Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, program yang diterajui oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dengan kerjasama Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia atau Malaysian Substance Abuse Council (MASAC) ini bermula dengan program Jurulatih Pemulihan Bertauliah siri pertama pada tahun 2021, yang telah melahirkan 39 jurulatih terlatih dan terbukti memberikan impak positif dalam meningkatkan tahap kompetensi serta tahap survival mereka dalam komuniti untuk membantu rakan pemulihan lain.
“Saya berharap agar program ini dapat ditindikkan dengan pembangunan penyelidikan (research development) yang dapat diterjemahkan dalam bentuk penerbitan artikel atau buku penyelidikan yang dapat memberi pulangan semula kepada penyelidik dan USIM secara umumnya.
"Ini bertepatan dengan inisiatif kerajaan di bawah Teras 3, Pelan Strategik Kementerian Dalam Negeri 2021-2025 iaitu peningkatan penglibatan rakan strategik dan komuniti dalam rawatan dan pemulihan,” katanya.
Turut hadir Dr. Nurashikin Ibrahim, Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Profesor Dr. Raduwan Idar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat; Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin, Dekan FKP serta Ahmad Lutfi Abd Latiff, Presiden MASAC. - KitaReporters/USIM