Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa: Menyusuri Tujuh Dekad Hubungan Malaysia-Indonesia di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 23 Januari 2026 ini.

Dr Abdul Latiff Awang
Presiden PAPTI, Datuk Dr Abdul Latiff Awang berkata, persidangan yang memberi fokus kepada bidang warisan, seni dan budaya, pelancongan serta pendidikan itu menampilkan tokoh-tokoh dalam bidang berkaitan dari kedua-dua negara.
Beliau berkata, sebanyak tiga sesi persidangan akan berlangsung bermula 8 pagi sehingga 5 petang iaitu Rumpun Nusantara: Berkongsi Warisan, Seni dan Budaya; Malaysia dan Indonesia sebagai Hub Pendidikan dan Pelancongan; serta Memperkasa Pendidikan Tinggi di Malaysia dan Indonesia.
“Persidangan yang julung kali ini diadakan bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun PAPTI,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada 15 Januari 2026.
Menurut Dato’ Abdul Latiff, antara yang bakal membentangkan kertas kerja masing-masing ialah antaranya mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin; mantan Fellow Penyelidik Kanan ATM UKM, Prof. Dr. Noriah Mohamad; dan Prof. Emeritus Dato' Dr Muhammad Yahya, juga dari UKM.
Manakala ahli panel dari Indonesia pula antaranya Rektor Umum Universitas Islam Negeri Medan, Sumarera Utara, Prof. Dr. Norhayati; Pembantu Rektor IV, Institut Teknologi Bandung, Dr. Andryanto Rikrik Kusmara; dan Guru Besar Ilmu Hukum, Universitas Nasional, Jakarta, Prof. Dr. Rumainur.

Selain persidangan antarabangsa, PAPTI turut mengadakan Pertandingan Golf Amal pada 17 Januari 2026 dan kemuncaknya majlis makan malam perdana juga pada 23 Januari 2026 ini yang bakal menghimpun kira-kira 1,000 alumni daripada angkatan 1970-an sehingga ke hari ini.
Untuk rekod, PAPTI ditubuhkan pada 29 November 1975 oleh sekumpulan rakyat Malaysia lepasan institusi pendidikan tinggi di Indonesia.
Sehingga kini, dianggarkan lebih 30,000 rakyat Malaysia telah menimba ilmu dari negara jiran dan menyumbang kepada pelbagai bidang di tanah air.
Sejak ditubuhkan, PAPTI kekal aktif menjadi wadah memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia dari segi “people-to-people”. - KitaReporters/Kenyataan Media