Kampus & Pendidikan 01 Nov, 2023

Peyatim bina Akademik Pengajian Islam Anak Yatim/Miskin ASEAN! Selepas Universiti College Bestari!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

SEBAHAGIAN pelajar yang menyertai Kursus Kepimpinan dan Jati Diri 2023 selama empat hari. 


Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) sedang mengukir langkah meneruskan perjuangannya bagi membela pendidikan anak-anak yatim pada peringkat ASEAN bertepatan dengan misi utamanya iaitu Membina Masa Depan Anak-Anak Yatim.

Pengerusi Pengelola University College Bestari (UCB), Prof. Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor, yang juga Presiden Peyatim berkata, UCB di Setiu yang berjaya telah melahirkan kira-kira 12,000 orang graduan dalam kalangan anak yatim dan miskin dari seluruh negara.

Sekarang, katanya, Peyatim akan mewujudkan pula Akademik Pengajian Islam Anak Yatim atau Miskin ASEAN (APIA) yang sedang dalam perlaksanaan di sebuah kawasan seluas 1,400 ekar di Kuala Jengal, Dungun, Terengganu.


TENGKU Mahmud Mansor ketika berucap merasmikan Kursus Kepimpinan dan Jati Diri 2023 di UCB, Setiu, Terengganu pada 29 Oktober 2023.

Tengku Mahmud berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Kursus Kepimpinan dan Jati Diri 2023 di UCB Putera Jaya, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu pada 29 Oktober lalu.

Kursus berkenaan berlangsung selama empat hari berakhir pada 31 Oktober 2023 dan disertai 200 pelajar dari tiga institusi terbabit. Ia dianjurkan oleh UCB dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat yang menyumbang Dana Amalnya sebanyak RM45,100 bagi menjayakan program itu.

Hadir sama di majlis itu ialah Pemangku Naib Canselor UCB merangkap Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UCB, Prof. Madya Ir. Mustafa Salleh; Timbalan Pengerusi Eksekutif 1 Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia (Yawatim), Dr. Mazlan Ahmad; dan Eksekutif Projek, Jabatan Program Yayasan Bank Rakyat, Siti Khaliesah Mohd Fikri.

Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor HEPA UCB, Prof.  Madya Abdul Razak Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif IKB dan KTB, Mohd Hafiz Sidik.


SITI Khaliesah Mohd Fikri menyampaikan Dana Amal Yayasan Bank Rakyat sebanyak RM45,100 kepada Tengku Mahmud Mansor di UCB Putera Jaya, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu.


Terdahulu Tengku Mahmud berkata, setiap pelajar yang mengikuti pengajian di UCB dan Institut Kemahiran Bestari (IKB) akan didedahkan dengan Kursus Kepimpinan Jati Diri sebelum mereka menamatkan pengajian di institusi berkenaan.

Beliau berkata, kursus tersebut  turut melibatkan pelajar daripada Kolej Teknologi Bestari (KTB) yang berkonsepkan IPU iaitu Iman, Pemimpin dan Usahawan bagi manfaat diri pelajar.

Menurutnya, para pelajar terbabit melalui pelbagai aktiviti yang berteraskan Iman, Pemimpin dan Usahawan pada kursus itu mampu melahirkan insan-insan yang cemerlang dan terbaik selepas mereka menghabiskan pengajian di tiga institusi tersebut.



``Kita berharap dengan Kursus Kepimpinan dan Jati Diri 2023 yang pertama dianjurkan ini dapat membangkitkan semangat jati diri dalam kalangan pelajar supaya mereka mampu bersaing dengan pelajar lain.

``Kita melihat kebiasaan pelajar selepas tamat pengajian mereka terpaksa menganggur jika mereka sukar untuk mendapatkan sebarang pekerjaan tetapi dengan ada kursus seperti itu mereka boleh membabitkan diri dalam bidang perniagaan selain menjadi seorang usahawan yang berjaya,’’ kata Tengku Mahmud. - KitaReporters


14
9
0
15
0
You will be interested