Kampus & Pendidikan 30 Mar, 2022

Terbaiklah MMU! 13 jadi sekolah angkat Program Sekolah Generasi Multimedia! Ke arah fasih digital!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh: SAHBULAH MOHAMAD DARWI


UNIVERSITI Multimedia (MMU) memilih 13 buah sekolah sebagai Sekolah Angkat MMU di bawah Program Sekolah Generasi Multimedia bagi merealisasikan hasrat negara mewujudkan generasi masa depan yang fasih digital.

Program berkenaan akan meningkatkan lagi tahap penguasaan kemahiran para pelajar melalui Transformasi Pendidikan Digital, Kebitaraan STEM dan Inovasi, serta Pendedahan Kerjaya Berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Universiti Multimedia

Dr. Mazliham Mohd. Su’ud menyampaikan sumbangan kepada Pengetua SMK Bukit Jalil, Dr. Rosnani Kaman sambil disaksikan oleh Maznah Abu Bakar (dua dari kanan). Turut hadir guru sekolah (dari kiri) Tan Seok Koon, Normah Mohd. Salleh dan Yang Dipertua sekolah, Dr. Noor Fajri Ismail. - Kredit foto: FB Multimedia University


Dalam satu kenyataan media,Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Maznah Abu Bakar berkata, program ini mempersiapkan para pelajar untuk menjadi generasi yang bukan sekadar kompeten bahkan fasih dalam pengetahuan serta kemahiran digital

“Sekolah-sekolah ini bertuah kerana berpeluang mendapat mentor cemerlang dalam pendidikan digital iaitu MMU yang telah terbukti berjaya menghasilkan graduan yang menepati kehendak era digital dan pasaran kerja masakini,” katanya pada majlis perasmian program Sekolah Angkat MMU di kampus MMU Cyberjaya, pada 28 Mac 2022 lalu. Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud



Prof. Mazliham mengumumkan MMU akan menyalurkan sebanyak RM5,000 kepada setiap sekolah bagi membantu pembangunan dan pemantapan infrastruktur yang berkaitan dengan teknologi digital di bawah program berkenaan

“MMU akan berkongsi dan memindahkan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman kepada sekolah-sekolah angkat ini secara sistematik dan berkala,” jelasnya dalam kenyataan media tersebut.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana, Selangor; SMK Seri Kembangan, Selangor; SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor; SMK Seri Saujana, Kuala Lumpur; SMK Bukit Jalil, Kuala Lumpur; SMK Seri Permaisuri, Kuala Lumpur; SMK Agama Slim River, Perak; SMK Seri Perak, Perak; SMK Changlun, Kedah; SMK Seberang Jaya Pulau Pinang; SMK Dang Anum, Melaka; Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Syah, Melaka; dan SM Sains Muar, Johor.



Guru bimbingan kaunseling SMK Seberang Jaya, Khairul Nidzar Mohd. Zaki (gambar atas) berkata, program ini dapat memberi pendedahan luas kepada para pelajar tentang ilmu dan kemahiran baharu era digital khususnya dalam bidang ICT, multimedia dan kejuruteraan. 

“Para pelajar akan dapat bimbingan secara hands on oleh pensyarah MMU yang akan turun padang ke sekolah kami, ini adalah satu peluang keemasan untuk warga sekolah menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dari MMU,” katanya.



Pengetua SMK Seri Permaisuri Kuala Lumpur, Rozita Puteh (gambar atas) berkata, penglibatan sekolahnya dalam program ini adalah kesinambungan daripada program-program bersama MMU sejak 2019. 

“Sumbangan MMU sangat besar dalam usaha melahirkan generasi fasih digital dari bangku sekolah lagi. Sekolah kami telah berjaya memenangi tempat pertama Project Based-Learning 2019 serta mewujudkan kandungan e-Evidence sekolah selain mempunyai Kelab Multimedia,” jelasnya.



Bagi Guru Kaunseling, Tan Seok Koon (gambar atas), program Sekolah Angkat MMU bakal menarik minat lebih ramai pelajar dalam bidang ICT dan multimedia kerana mereka berpeluang untuk meneroka kemudahan-kemudahan canggih yang ditawarkan oleh MMU. “Saya sendiri berasa teruja apabila dapat melawat makmal-makmal dan kemudahan yang terdapat dalam kampus MMU. Kami rasa cukup bertuah kerana terpilih sebagai sekolah angkat MMU,” katanya. - KitaReporters


Dr. Mazliham Mohd. Su’ud (tengah) dan pihak pengurusan MMU bersama para pengetua dan Yang Dipertua sekolah-sekolah bergambar selepas majlis perasmian program sekolah angkat MMU di Cyberjaya padaq 28 Mac 2022. - Kredit foto:Kredit foto: FB Multimedia University

15
16
0
10
0
You will be interested