
Inapan Siswa Tenaga Nasional Berhad (Inasis TNB) Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui program kesukarelawanan bertemakan TNB-VISTA: Misi ke Bumi Kenyalang.
Program ini bukan sahaja menyalakan semangat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa tetapi turut membawa perubahan positif kepada masyarakat pedalaman di Sarawak.
Dengan penglibatan seramai 12 mahasiswa dari UUM, Universitas Sumatera Utara (Indonesia) dan Prince of Songkla University (Thailand), misi ini bertujuan membentuk generasi pemimpin masa depan yang prihatin dan bertanggungjawab, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Program ini berlandaskan enam tunjang utama iaitu Warisan & Budaya, Kelestarian Alam Sekitar, Pendidikan, Inovasi & Teknologi, Pemerkasaan Komuniti dan Kesejahteraan Sosial yang menggambarkan nilai-nilai kemampanan, ihsan, kepercayaan dan kesejahteraan yang menjadi teras Malaysia Madani.


Setiap aktiviti dirancang untuk memberi impak jangka panjang kepada komuniti setempat sambil membentuk hubungan yang lebih erat antara peserta dan masyarakat tempatan.
Antara aktiviti utama ialah lawatan ke Rumah Panjang Sungai Giling di Sungai Buloh A, di mana peserta berpeluang mengenali warisan budaya suku kaum Iban melalui pameran kraftangan, pakaian tradisional, dan tarian.
Selain itu, peserta turut menyertai pendakian ke Bukit TV Marudi, simbolik kepada kesedaran menjaga kelestarian alam sekitar.
Dalam aspek pendidikan pula, pelbagai program seperti pertandingan pidato, spelling bee, explorace, dan mural bertemakan inovasi diadakan bersama pelajar SMK Marudi dan SMK Telang Usan.
Inasis TNB turut menyumbangkan enam lampu solar kepada SMK Marudi, memanfaatkan teknologi hijau untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.
Pemerkasaan komuniti dan kesejahteraan sosial turut diberi penekanan melalui gotong-royong menyediakan 100 pek nasi ayam di Surau Al-Taqwa, Kampung Narum, serta pembersihan Masjid Al-Salam.
Aktiviti ini bukan sahaja memenuhi keperluan asas masyarakat tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan dan kesukarelawanan.


Pengarah Program, Mirza Hidayat, mahasiswa Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian, menyatakan bahawa misi ini adalah langkah penting dalam membentuk mahasiswa yang holistik, prihatin dan bertanggungjawab sebagai pemimpin masa depan.
Secara keseluruhannya, TNB-VISTA: Misi ke Bumi Kenyalang membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan adalah kunci kepada perubahan sosial dan pembangunan mampan, sekali gus memperkukuh perpaduan serta kesedaran sivik dalam kalangan generasi muda. - KitaReporters

