Kampus & Pendidikan 29 Jan, 2025

Perlu kreatif dan inovasi! Mahasiswa UPSI anjur program cari cara perkasakan pendidikan bahasa Tamil!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Saraswathy Kandasami melawat booth pameran inovasi pelajar sempena Program Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil 2025 di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah.


PROGRAM Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil 2025 memberi peluang kepada 115 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, memperlihat semangat tinggi dalam bidang pendidikan bahasa Tamil, sekali gus membuktikan komitmen mereka terhadap pembangunan dan inovasi dalam memperkasa bahasa berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami, pertandingan seumpamanya adalah penting dalam melahirkan lebih ramai inovator yang tidak hanya kreatif dalam bidang bahasa, tetapi juga mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.

“Saya sangat berbangga dengan semangat ditunjukkan oleh peserta kerana membuktikan bahawa sebagai negara berbilang kaum, kita sentiasa berusaha untuk memelihara dan memperkasa bahasa pelbagai etnik, terutama bahasa Tamil yang kaya dengan sejarah dan budaya.

“Saya percaya, inisiatif ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak idea dan inovasi yang akan membantu memajukan bahasa Tamil, terutama dalam dunia pendidikan global,” kata beliau ketika berucap merasmikan Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, anjuran Persatuan Bahasa Tamil UPSI, pada 20 Januari 2025. 

Turut hadir pada majlis itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI, Prof Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FBK UPSI, Dr Mohd Amir Mohd Zahari; dan Ketua Program Bahasa Tamil, FBK UPSI, Prof Madya Dr Kartheges Ponniah.


Saraswathy ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil 2025.


Saraswathy berkata, sebagai sebuah negara penuh dengan kepelbagaian budaya, kita perlu terus memperkasa dan memberi pengiktirafan kepada bahasa yang ada di Malaysia. Bahasa Tamil bukan sahaja penting sebagai bahasa komunikasi, tetapi ia juga mengandungi nilai sejarah yang mendalam. 

Program seperti ini, katanya, bukan sahaja memelihara bahasa berkenaan, tetapi juga memberi ruang kepada generasi muda untuk meneroka cara baharu bagi memperkenalkan dan mempopularkan bahasa Tamil dalam kalangan masyarakat dunia.

Tambahnya, pertandingan yang diadakan menjadi  platform penting bagi kepada pelajar untuk mengasah kreativiti mereka dalam bidang inovasi dan teknologi.

“Saya percaya pertandingan ini bukan sahaja dapat menguji kemampuan peserta dalam bidang inovasi pendidikan bahasa Tamil, tetapi juga membina keyakinan diri mereka untuk melangkah lebih jauh dalam menyumbang kepada perkembangan bahasa dan budaya negara.

“Sebagai contoh, melalui penggunaan teknologi moden, kita dapat melihat bagaimana bahasa Tamil boleh berkembang dengan cara yang lebih dinamik dan relevan dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Pertandingan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan bakat dan kreativiti mereka, tetapi juga mencipta ruang untuk mereka menyumbang kepada warisan bahasa Tamil yang kaya,” ujar beliau lagi.


Saraswathy (tengah) serta pengurusan tertinggi UPSI bergambar bersama pemenang Program Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil 2025.


Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin, berkata pertandingan inovasi pendidikan merupakan salah satu elemen penting dalam menangani cabaran global.

Menurut beliau, perubahan sosial, ekonomi dan tenaga merupakan isu utama masa kini. Dengan menyemai kesedaran tentang kepentingan kreativiti dan inovasi, mahasiswa dapat mencipta penyelesaian baharu yang inovatif untuk mengatasi pelbagai masalah.

Beliau turut memaklumkan bahawa UPSI aktif menganjur dan menyertai program inovasi pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“Tahun ini, UPSI akan menganjurkan International Edu@Innovate 2025 pada bulan Mei (2025) dan baru-baru ini, mahasiswa kami berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan amalan inovasi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Ini membuktikan keupayaan mahasiswa UPSI dalam menghasilkan karya yang berkualiti tinggi,” ujarnya.

Dr Norkhalid turut mengiktiraf usaha Persatuan Bahasa Tamil, yang menjadi badan pelajar pertama pada tahun 2025 menganjurkan pertandingan inovasi pendidikan.

Menurutnya, program itu diharapkan menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk mengenal pasti potensi inovasi dalam bidang seni, budaya dan teknologi, khususnya dalam penggunaan bahasa Tamil,” kata beliau lagi. - KitaReporters 


Saraswathy (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan serta pelajar UPSI pada majlis perasmian Program Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil 2025 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

11
16
0
16
0
You will be interested