Kampus & Pendidikan 28 Jul, 2022

Kolaborasi Malaysia, Uzbekistan! MSU perkasa hubungan diplomatik menerusi kebudayaan, pendidikan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Bangunan MSU tersergam indah di Shah Alam, Selangor.


MENYEDARI potensi besar Republik Uzbekistan dari segi demografik, ekonomi, pelancongan serta pendidikan, Management and Science University (MSU) di Shah Alam, Selangor, menganjurkan ‘MSU International Cultural Festival’ dalam usaha mengenali secara lebih dekat kepelbagaian kebudayaan dan tradisi negara berkenaan, pada  21 Julai 2022 lalu.

Pengurus Komunikasi & Penjenamaan MSU, Ahmad Ibrahim, berkata ‘MSU International Cultural Festival’ (Festival Kebudayaan Antarabangsa MSU) merupakan inisiatif bagi memberikan pendedahan kepada pelajar untuk menghargai seni serta persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama khususnya Uzbekistan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus MSU


Dr Mohd Shukri Ab Yajid (enam dari kanan) dan Ravshan Usmanov (empat dari kiri) bersama-sama sebahagian anggota Kumpulan Kebudayaan Uzbekistan.


Jelas beliau, ia juga adalah platfom memperkasa hubungan antara dua negara dalam berkongsi nilai, tradisi dengan pendidikan sebagai faktor perubahan yang utama.

Menurutnya, kunjungan delegasi kebudayaan Uzbekistan ke MSU itu juga adalah signifikan dalam meraikan 30 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Uzbekistan yang bermula dengan pembukaan pejabat kedutaan Malaysia di Tashkent pada 1992.

Majlis berkenaan dihadiri Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov. Turut hadir pengurusan kanan MSU, wakil kedutaan Uzbekistan di Malaysia, pelajar serta kumpulan penari kebudayaan Uzbekistan yang didatangkan khusus ke Malaysia.


Persembahan tarian Kumpulan Kebudayaan Uzbekistan memukau ramai tetamu yang hadir termasuk pelajar.


Kebudayaan Uzbekistan yang unik serta kaya dengan nilai sejarah menyaksikan tarian dari negara Balkan itu sudah tersenarai dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) di bawah kategori warisan budaya tidak ketara dunia.

Selain itu, beberapa khazanah Uzbekistan lain yang turut tersenarai dalam Unesco termasuk daerah tenggara Boysun, muzik Shahmaqom, hidangan tradisional Palov, Askiya (seni budaya) dan lagu tradisi Katta Ashula.

Ahmad berkata, di samping itu pada majlis berkenaan turut menyaksikan persembahan tarian tradisional mengikut pelbagai etnik di Malaysia yang telah dipersembahkan oleh ahli MSU Performing Arts & Cultural Club (PACC). 


Kumpulan Kebudayaan Uzbekistan membuat persembahan pada majlis ‘MSU International Cultural Festival’ , 21 Julai 2022 lalu.


Kata Ahmad lagi, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang seminggu delegasi Uzbekistan berada di MSU dalam mempromosikan kepelbagaian kebudayaan termasuk persembahan tarian tradisional, bahasa Uzbek, serta pameran pakaian kebangsaan.  

“Kerjasama pintar MSU di Uzbekistan merentasi bidang Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan, Pensijilan Halal, Latihan, Pertanian dan Penternakan.

“Manakala dalam bidang pendidikan pula menyaksikan kolaborasi MSU dengan rakan universiti di Uzbekistan seperti Navoi State Pedagogical Institute , Bukhara State University, Bukhara State Medical Institute serta Samarkand State Institute of Foreign Languages,” jelas beliau. - KitaReporters


Ahli MSU Performing Arts & Cultural Club mempersembahkan tarian tradisional pelbagai etnik di Malaysia.

26
17
0
9
0
You will be interested