Kampus & Pendidikan 29 Nov, 2023

Anugerah kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi! USIM beri pengiktirafan kepada penyelidik!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) komited dalam usaha meningkatkan pencapaian dan sumbangan warga akademik dalam teras penyelidikan pada peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Bagi meraikan warga penyelidiknya, Majlis Apresiasi Penyelidikan dan Inovasi USIM yang bertempat di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani baru-baru ini.



Majlis yang menjadi salah satu program tahunan dalam kalendar acara PPPI USIM ini diadakan bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf para penyelidik yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang penyelidikan, penerbitan, inovasi, serta melalui pencapaian yang memberangsangkan dalam penilaian Taksiran Penyelidikan Malaysia (MyRA) sepanjang tahun 2022.

Pada majlis ini, sebanyak 16 anugerah telah diberikan kepada penyelidik yang komited dalam menghasilkan inovasi dan penyelidikan merangkumi kategori Sains dan Teknologi (S&T) serta Sains Sosial (SS).

Antaranya adalah Anugerah Inovasi Terbaik dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay, pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi; Anugerah Penyelidikan Terbaik dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Norhaziah Nawai, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM); dan Anugerah Projek Perundingan Terbaik dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Amin Al Haadi Shafie, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).



Bagi Anugerah MyRA Fakulti Tertinggi disandang oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK). Manakala penyumbang MyRA Tertinggi kategori individu Kluster S&T pula disandang oleh Dr. Mohamad Hafiz Jaafar, pensyarah FPSK; dan kategori Kluster Sains Sosial disandang oleh Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, FKP.

Profesor Dato' Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dalam ucapan aluannya berkata, warga penyelidik merupakan tulang belakang kepada universiti bagi menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi untuk manfaat masyarakat. 

Justeru, PPPI telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menggerakkan pelbagai aktiviti pengkomersialan harta intelek universiti, antaranya dengan menganjurkan Bengkel Pengkomersialan, program USIM – Industry Pitch Day 2023 dan Innovation Bank Challenge. 

“Selain itu, bagi meningkatkan keterlihatan dan mendapatkan pengiktirafan terhadap produk inovasi USIM, penyelarasan penyertaan untuk bertanding ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Ekspo Teknologi Malaysia (MTE), Pameran Reka Cipta, Inovasi & Teknologi Antarabangsa (ITEX) dan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) telah dijalankan secara konsisten," ujarnya lagi.



Sementara itu, Profesor Madya Dr. Nurlida Basir Pengarah PPPI USIM berkata, ukuran kecemerlangan penyelidikan di USIM adalah mengguna pakai penilaian MyRA. 

Ia merupakan instrumen untuk menaksir keupayaan penyelidikan pada peringkat institusi dengan mengukur kecemerlangan dari tanda aras yang ditakrifkan melalui tiga unsur utama, iaitu indikator atau kriteria yang menilai IPT, tanda aras setiap indikator; dan mekanisme penskoran bagi setiap indikator.

“Justeru, dengan penganjuran program ini diharap akan meningkatkan semangat mereka untuk menyumbang dalam penyelidikan dan mengambil bahagian dalam persidangan agar terus cemerlang dalam lapangan masing-masing. 

"Anugerah ini juga diharapkan menjadi satu landasan kepada para kakitangan akademik yang telah mencapai kejayaan untuk terus mengekalkan kecemerlangan pada masa akan datang," tambahnya.

Pada majlis yang sama juga, sebanyak 80 kumpulan penyelidik yang menyertai Innovation Bank Challenge atau Cabaran Bank Inovasi (IBC) 2023 bertemakan ‘Inovasi Pemangkin Teknologi Masa Hadapan’ mengetengahkan produk dan inovasi penyelidikan yang telah dibangunkan oleh PTj masing-masing. 

Daripada jumlah itu, 25 kumpulan penyelidik memenangi anugerah emas, 24 memenangi anugerah perak dan 17 kumpulan lagi meraih anugerah gangsa. - KitaReporters/USIM


14
11
0
10
0
You will be interested