Seramai 94 sukarelawan siswa mewakili pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak memulakan kerja khidmat masyarakat di beberapa buah kampung terpilih di Perak dan Pahang.

Kebetulan bagi misi sukarelawan siswa ini, mereka mulakan serentak dengan sambutan dan perarakan Maulidul Rasul pada 12 Rabiulawal yang diadakan serentak pada peringkat nasional, negeri dan daerah, manakala mereka meraikannya dengan melakukan khidmat masyarakat di kampung-kampung berkenaan.
Selama dua minggu mulai 4 September hingga 17 September 2025 ini, sukarelawan yang mewakili Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu berada di beberapa buah kampung di Perak dan Pahang.

Di Perak, sukarelawan siswa daripada pelbagai kaum itu akan membantu penduduk kampung di Kampung Chui Chak, Langkap, Pos Legap, Sungai Siput; Kampung Selarong, Pengkalan Hulu; dan Kampung Jawa Air Kuning, Tapah.
Di Pahang, mereka berada di Kampung Tanah Rom, Jerantut; dan Kampung Tanjung Gahai, Sungai Koyan, Pahang.
Selama dua minggu ini, sularelawan akan tinggal bersama komuniti tempatan untuk menimba pengalaman dan menyelami budaya, adat, bahasa dan dialek serta ‘loghat’ masyarakat di Perak dan Pahang.
Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembinaan Laman Tradisi Orang Asli di Sungai Siput dan membaik pulih makmal sains dan pusat sumber di Sungai Koyan.
Selain itu, sukarelawan siswa akan melaksanakan projek keceriaan sekolah serta menganjurkan program berteraskan pendidikan, kesihatan, kesedaran digital dan pembangunan keusahawanan.
Sukarelawan siswa juga akan melaksanakan inisiatif ‘Ini Warisan Kita’, selari dengan pengisian utama KPN bagi menyuntik semangat cintakan tanah air melalui penghayatan kepada kepelbagaian khazanah yang diwarisi turun-temurun.
Sukarelawan siswa ini akan menyediakan dokumentasi berkenaan cara hidup, makanan, bahasa, budaya, tariandan pakaian tradisional etnik-etnik terlibat di dalam pelaksanaan misi.

Sukarelawan berkenaan akan melibatkan diri dengan pelbagai komuniti antaranya di kampung Melayu, penempatan kaum Cina dan India selain menyantuni kaum Orang Asli dan komuniti Siam.
YSS dalam satu kenyataan menjelaskan misi itu memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan pengukuhan perpaduan dengan penglibatan sukarelawan.
Setiap aktiviti berlandaskan teras kesukarelawanan YSS dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-BangsaBersatu (UN SDG), termasuk aspek pendidikan, kesejahteraan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar.
Sebelum ini, mulai 1 hingga 3 September 2025 lalu, semua sukarelawan siswa berkenaan berkumpul di Universiti Islam Selangor (UIS) bagi sesi persediaan sebelum masuk ke kampung-kampung itu.
Sejak ditubuhkan pada 2012, YSS melaksanakan 80 misi di dalam dan luar negara yang memberi manfaat secara langsung kepada lebih 1.7 juta orang. - KitaReporters/Kenyataan Media

Sukarelawan siswa yang terlibat dalam program khidmat masyarakat sebelum bertolak ke Perak dan Pahang pada 4 September 2025.