Kampus & Pendidikan 13 Sep, 2024

Abdullah Long dan Tai Weuy Liang juara! Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Abdullah Long menerima piala pusingan juara keseluruhan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024 daripada Mohd. Ali Mohd. Rustam di MITC, Ayer Keroh, Melaka. 


Tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah tuah yang memihak kepada seorang pensyarah Kolej Profesional Mara (KPM) Melaka, Abdullah Long, 36, pada Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024 bagi merebut Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Khamis, 12 September 2024.

Dia bukan setakat diumumkan sebagai juara kategori awam malah dinobatkan selaku juara keseluruhan dalam pertandingan akhir.

Pidatonya yang bertajuk 'Rukun Negara dan Islam Berpisah Tiada', sekali gus turut menobatkannya selaku juara kategori awam meraih hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Dia yang menetap di Serkam, Jasin turut menerima Piala Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia selaku juara keseluruhan.

Abdullah berkata, kejayaan itu adalah yang kedua diraihnya selepas memenangi Pertandingan Pidato Kenegaraan peringkat negeri Melaka sebelum ini.

"Sejak dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan saya meminati bidang pidato walaupun pada peringkat sekolah saya adalah seorang pendebat.

"Saya rasa syukur dipilih sebagai juara kategori awam dan juara keseluruhan. Kejayaan ini juga atas dorongan isteri, anak-anak, rakan pensyarah dan pelajar," ujarnya yang berasal dari Kelantan.


Tai Weuy Liang dari Wilayah Persekutuan muncul juara kategori bukan Melayu menerima hadiah daripada Mohd. Ali Mohd. Rustam Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024  di MITC, Ayer Keroh, Melaka.


Seramai 3,755 peserta mengambil bahagian pada peringkat saringan dan merekodkan penyertaan paling ramai sejak pertandingan ini diperkenal pada 2021.

Hadiah kepada pemenang telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta dihadiri Timbalan Menteri Timbalan Perpaduan Negara K. Saraswathy dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Naib juara kategori awam diraih oleh Khairul Aizat Yusoff dari Pulau Pinang meraih hadiah wang tunai RM2,000 dan ketiga dimenangi Azieyana Aziz dari Sabah membawa pulang RM1,000.

Bagi kategori Bukan Melayu pula juara disandang oleh Tai Weuy Liang dari Wilayah Persekutuan menerima RM3,000 diikuti Teo Fang Liang dari Sarawak mendapat RM2,000 dan ketiga milik D. Alageasan dari Selangor menerima RM1,000.


Sebahagian daripada pemenang Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024 bergambar kenangan bersama Mohd. Ali Mohd. Rustam di MITC, Ayer Keroh, Melaka


Najihah Kasim dari Universiti Malaya (UM) pula meraih juara kategori institusi pengajian tinggi (IPT) menerima RM3,000 diikuti Muhammad Haziq Hedzril Norhairol dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan RM2,000 dan ketiga milik Aulia Farah Diani Suffyan Tong dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Teknik, Negeri Sembilan.

Bagi kategori sekolah rendah bergandingan dimenangi pasangan adik-beradik An Nur Asyfa Mohd. Khazan dan An Nur Alisha dari SK Olak Lempit Selangor menerima RM2,000; kedua dimenangi Nur Umairah Zubir dan Che Wan Nur Fariha Sofia Che Wan Mohd. Farizal dari SK Malim, Melaka (RM1,500) dan ketiga milik Ghaziah Khairi dan An Nuha Insyirah Mohd. Rasdan dari SK Tun Syeh Ahmad Shahbudin, Melaka (RM1,000).

Kategori sekolah menegah bergandingan pula dijuarai Nurul Iman Naziha Ashar dan Haarisa Dinara Suphian dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan (RM2,000); Nur Aina Aqilah Mohd. Fauzi dan Nur Khyreen Husna Mohd. Azam dari Sekolah Menengah Agama Al-Ehya Alkarim, Melaka (RM1,500) dan Muhammad Irsyad Ikhwan Mohamed Nasir dan Nur Maisarah Ismadi dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, Johor.

Bagi kategori sekolah rendah murid berkeperluan pendidikan khas dimenangi Muhammad Firas Muhammad Firdaus dari SK Malim (RM1,000); kedua milik Ahmad Farith Adha Ahmad Faiz dari SK Taman Bukit Rambai, Melaka (RM700) dan Muhammad Uwais Alqarni Mohd. Aslam dari SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, Melaka (RM500).

Untuk kategori sekolah menengah berkeperluan pendidikan khas dijuarai Muhammad Firdaus Haqimie Abdul Rahman dari SMK Puncak Alam, Selangor (RM1,000), kedua milik Nur Ain Bahiah Mohd. Fahimi dari SMK Ayer Molek, Melaka (RM700) dan Muhammad Hariz Hariri Zamrudin dari SMK Dato Haji Talib Karim, Melaka (RM500). - KitaReporters


Pemenang Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024 bergambar kenangan bersama Mohd. Ali Mohd. Rustam di MITC, Ayer Keroh, Melaka.

 

17
10
0
9
0
You will be interested