SERAMAI 4,000 warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) termasuk dalam kalangan pelajar dan kakitangan turun padang menyertai Senam Robik Perdana sempena pelancaran kempen ‘UniSZA Sihat’, di Pekarangan Dewan Al-Muktafi Billah Shah,Kuala Nerus.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam, berkata program UniSZA Sihat itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya gaya hidup sihat serta mendorong pelaksanaan aktiviti fizikal dan riadah secara berkala.
“Dalam usaha untuk merealisasikan hasrat ini, saya menyeru dan menyarankan seluruh warga UniSZA agar dapat meluangkan masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah di dalam kampus,” katanya.
Menurutnya lagi, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan dalam kampus untuk beriadah seperti berjalan kaki di sekitar tasik, joging di trek stadium dan guna kemudahan sukan yang ada di UniSZA ini untuk beriadah sama ada aktiviti indoor ataupun outdoor.
Dr. Fadzli berkata, warga UniSZA boleh sentiasa melibatkan diri dalam program-program sukan massa dan rekreasi yang dianjurkan dari semasa ke semasa antaranya sambutan Hari Sukan Negara, karnival-karnival sukan pada peringkat dalaman, fun walk, fun run, fun ride, hiking dan sebagainya.
Pelancaran Kempen ‘UniSZA Sihat’ telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh. - KitaReporters