Tuanku Zara Salim.
MAJLIS Istiadat Konvokesyen Ke-26 yang akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, bermula pada 23 sehingga 30 November 2024 menyaksikan 7,172 graduan menerima ijazah masing-masing.
Pada sesi pertama, Canselor, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat untuk merasmi dan menyampaikan ijazah kepada graduan.
Prof Md Amin Md Taff
Menurut Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff daripada jumlah graduan berkenaan sebanyak lapan sidang akan diadakan sepanjang istiadat berlangsung.
Katanya, daripada jumlah itu 154 graduan akan menerima
Ijazah Doktor Falsafah; Ijazah Sarjana ( 943); Ijazah Sarjana Muda (4,768);
Diploma (755) serta 552 graduan akan
menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.
Selaras dengan industri muzik dan seni kreatif sebagai katalis ekonomi, katanya, istiadat kali ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan kepada penggiat seni terkenal tanah air, Datuk M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed yang perjalanan seninya bermula pada tahun 1979.
Pengalaman M Nasir dalam dunia seni selama lebih empat dekad
melayakkan beliau menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni
persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak tahun 2021,
manakala Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd menjadi rakan strategik UPSI melalui MoU
sejak dari tahun 2016 sehingga sekarang.
Prof Md Amin berkata, sumbangan M Nasir sangat besar dalam
mengangkat martabat dunia seni muzik dan mencapai tahap berprestij serta
signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi
muzik.
Seni kata lagu pertama beliau ditulis untuk lagu kumpulan Alleycats yang bertajuk “Senandung Semalam” pada tahun 1978, manakala lagu pertama ciptaan beliau adalah “Hujan” yang dirakamkan oleh kumpulan Sweet Charity.
Graduan bersiap mencari tempat duduk dalam dewan konvokesyen.
Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Prof Madya Dr
Muhammad Fazli Taib Saearani, berkata selain M Nasir, pada sesi pertama juga
menyaksikan Datuk Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias menerima Ijazah
Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.
Nash yang aktif sebagai penyanyi bermula tahun 1986 pernah
menganggotai kumpulan Lefthanded terkenal dengan lagunya “Pada Syurga Di
Wajahmu” (1922) dan “Zahir Tak Terucap (1993).
Dua insan seni itu turut mempersembahkan nyanyian
masing-masing sebagai selingan pada sesi pertama di hadapan Tuanku Zara,
pengurusan tertinggi dan graduan yang hadir.
Pada sesi pertama juga penghargaan diberikan kepada graduan terbaik melalui anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran DiRaja dan Pingat Emas Canselor.
Sebahagian ibu bapa yang hadir pada Konvokesyen Ke-26 UPSI.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin, berkata bersempena istiadat konvokesyen,
UPSI menganjurkan Pesta Konvokesyen UPSI 2024 yang berlangsung di Dataran
Cemerlang Bersama UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah sepanjang tempoh majlis
konvokesyen berlangsung.
Pesta itu menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk
seluruh keluarga, termasuklah pelbagai reruai jualan makanan, pameran
pendidikan dan kesihatan serta persembahan artis terkenal seperti M Nasir, Nash
dan ramai lagi, yang akan memeriahkan suasana malam pesta.
“UPSI ingin mengucapkan tahniah kepada semua graduan serta keluarga mereka atas usaha, komitmen serta pencapaian yang luar biasa, berilmu dan berwibawa dalam pelbagai bidang,” ujarnya. - KitaReporters