Kampus & Pendidikan 10 Nov, 2024

Syabas Fakhirah Hazirah, Din Ying Xuan! Penerima Anugerah Pelajaran Diraja! Majlis Konvokesyen UTeM!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Mohd. Ali Mohd. Rustam menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Fakhirah Hazirah Shahrulazhar pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-20 di Durian Tunggal, Melaka. 


Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia tiada siapa yang tahu. Berkat usaha gigih dua graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Fakhirah Hazirah Shahrulazhar, 24, dan Din Ying Xuan, 24, mereka menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen UTeM ke-20, Sabtu, 9 November 2024 lalu.

Mereka merupakan antara 3,459 graduan yang menerima diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula 9 hingga 11 November 2024 membabitkan enam sesi itu. 

Kedua-dua graduan tersebut masing-masing menerima pingat, sijil, wang tunai RM7,500 dan nombor plat eksklusif UTeM yang telah disampaikan Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Hadir sama Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr. Massila Kamalrudin.



Fakhirah Hazirah Shahrulazhar bergambar kenangan bersama kedua-dua ibu bapanya selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja.


Mengulas kejayaan itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian, Fakhirah Hazirah berkata, untuk mencapai kejayaan cemerlang seseorang itu perlu berdisiplin, tekun dan bijak dalam menguruskan masa.

Menurutnya, walaupun aktif dengan sukan taekwando dan pasukan beruniform sebagai Leftenan Muda Kor SISPA (Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam), dia dapat mengimbanginya serta dapat memberikan tumpuan adalam bidang akademik. 

"Ini adalah cabaran besar buat saya dalam aspek mental dan fizikal namun minda kita perlu kuat dengan satu keazaman teguh serta diiringi doa ibu bapa dan sokongan para pensyarah.

"Saya konsisten dengan amalan dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu perkara itu sehingga membuahkan kejayaan,” ujarnya yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.52 dan turut mencapai 4 kali Anugerah Dekan sebelum ini. 

Fakhirah Hazirah berasal dari Shah Alam, Selangor adalah anak keempat daripada daripada lima beradik kepada pasangan jurutera, Shahrulazhar Shamshudin, 59, dan Noraishah Shamsuddin, 58.

Ditanya mengenai cita-citanya, dia berazam ingin menjadi seorang jurutera yang berjaya di samping dapat membantu dalam pembangunan teknologi dalam sektor industri dan komuniti.


Din Ying Xuan bergambar kenangan bersama kedua ibubapa selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja.


Sementara itu Ying Xuan yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian pula berkata, dia sangat teruja menerima anugerah tersebut dan tidak sama sekali terfikir dia antara dua terbaik di UTeM. 

"Saya sangat teruja dan gembira atas kejayaan ini kerana cabaran yang saya lalui sepanjang pengajian di sini cukup mencabar tetapi saya mampu mengatasinya serta meraih kejayaan paling berharga," ujarnya. 

Dia yang berasal dari Kuala Langat, Selangor itu berkata, kejayaannya itu hasil sokongan kedua-dua ibu bapa serta pensyarah yang memberikan kekuatan kepadanya untuk berjaya. 

Anak sulung daripada dua beradik itu yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaya (UM) berkata, dia sentiasa percaya kepada usaha keras dan disiplin menjadi kunci kejayaannya. - KitaReporters


12
14
0
15
0
You will be interested