MOHD Kassim Abu Bakar (dirakam pada 2013) bersebelahan gambarnya bersama rakan sepasukan Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965. - Kredit foto: infotakraw.com
KASSIM Bakar pada zaman mudanya dengan gaya rambut Afro. - Kredit foto: FB Halim Ishak
ADA empat jenis libasan atau rejaman sepak takraw sebagai penangan penyudah di depan jaring. Masing-masing digelar libas gulung, libas kalih, libas tongkat dan libas pari yang muncul dalam sentuhan bola yang ketiga oleh sesebuah regu.
Satu daripadanya, libas pari - diperkenalkan oleh Allahyarham Mohd Kassim Abu Bakar yang telah pergi buat selama-lamanya antara pukul 8.30 dan 9.30 pagi Jumaat, 3 Disember 2021.
Beliaulah perejam yang bertindak di posisi apit kiri dan pernah mengalungkan Malaysia dengan pingat emas ketika sepak takraw mula dipertandingkan dalam Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 di Stadium Negara dengan nama asalnya, sepak raga jaring.
Libas pari dilakukan dengan mengiringkan badan sambil kaki merembat bola atau seperti ‘koner baring’.
Penangan penamat ini kemudian diwarisi dan dipopularkan oleh Raja Sepak Takraw Asia 1986, Adnan Saidin, apit kiri Kedah yang memenangi pingat emas Sukan SEA 1979, 1981 dan 1983 serta Kejohanan Asia 1980 mahupun Piala Raja Thailand 1985.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw
KASSIM Bakar (berdiri, tiga dari kiri), anggota skuad pemenang pingat emas Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.
Kasim menghembuskan nafas terakhirnya di rumahnya di Jalan Sheikh Yahya Ahmad, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada usia 78 tahun. Dia dilahirkan pada 27 September 1943 di Kampung Baru.
Allahyarham meninggalkan seorang anak perempuan, Lindawati Mohd. Kassim, 47 dan tiga cucu.
“Allahyarham meninggal dunia dalam tidur antara pukul 8.30 hingga 9.30 pagi. Dia pernah buat pemeriksaan doktor tetapi tiada apa-apa penyakit yang dikesan," kata Lindawati.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.30 petang Sabtu, 4 Disember 2021, katanya.
PINGAT emas Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 - yang pertama dipertandingkan dalam temasya serantau dwitahunan itu, turut dimiliki Kassim Bakar. - Kredit foto: infotakraw.com
GAYA penangan penyudah libas pari yang dilakukan Adnan Saidin pada era 80-an ini, dicipta oleh Kassim Bakar. - Kredit foto: infotakraw.com
Menemani Kassim dalam skuad Sukan SEAP 1965 itu ialah Husaini Hashim, Ahmad Mohd. Saman, Abdul Karim Shaari, Esman Bajuri, Abdul Aziz Ahmad, Amir Shaari, Abdul Rahman Mohd Noor, Mohd. Said Mohd. Hassan, Zainol Abidin Nor, Mohd. Noor Osman dan Ismail Ahmad.
Razali Shukor dari Selangor bertindak sebagai jurulatih manakala pengurus pasukan, Datuk Ahmad Razali Mohd. Ali (kemudiannya Menteri Besar Selangor dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia - PSM).
Skuad ini menewaskan Thailand 2-1, Laos 3-0 dan Singapura (menang percuma) dalam liga sepusingan.
Pada 6 hingga 11 April 1965, Kassim turut menyertai rombongan pemain dan pegawai negara yang membuat pertunjukan sepak raga jaring kepada Thailand di Bangkok, Songkhla dan Haadyai.
Negara Gajah Putih itu belum begitu menguasai sepak raga jaring biarpun mempunyai satu permainan tradisi miripnya, gelung (hoop) atau mereka menggelarnya, takraw.
Pemain-pemain Selangor dan Pulau Pinang dipilih mewakili Malaysia selaku juara dan naib juara Sepak Raga Jaring Antara Negeri-negeri Piala Emas Khir Johari 1963.
Biasanya, Kassim bergandingan dengan Esman atau sesekali dipanggil Ismon (apit kanan dan pengumpan) dan Zainol atau Bidin (tekong).
Regu pertama negara, Rahman, Hussain dan Amir menundukkan Thailand 15-5, 15-9 untuk Malaysia mendahului 1-0 namun regu Kasim dikejutkan 18-16, 16-18, 7-15 oleh gandingan Thailand (Sa Linaganit, Saval Wongpipud dan Poonjit Palasin) sekali gus mengikat kedudukan 1-1.
Mujurlah Said, Mohd. Noor dan Ahmad berjaya memastikan kemenangan dan pingat emas buat tuan rumah, 15-3, 15-8.
SKUAD pemenang pingat perak Sukan SEAP Bangkok 1967 yang turut dianggotai Kassim Bakar (kanan, tiga dari atas). - Kredit foto: MOM
Kassim turut membawa pulang pingat perak Sukan SEAP Keempat, 1967 selepas skuad negara dikalahkan tuan rumah 3-0 dalam perlawanan akhir dan 2-1 (liga) di Bangkok, Thailand.
Dalam saingan liga itu, mereka berjaya menewaskan Laos 3-0 dan Singapura 2-1.
Memandangkan Kuala Lumpur pada era 60-an masih dalam Selangor, Kasim turut beraksi buat negeri kelahirannya itu pada kejohanan kebangsaan anjuran Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu (PSRPTM, nama asal Persatuan Sepak Takraw Malaysia - PSM).
Antaranya Piala Emas Khir Johari (berformat kalah singkir antara zon) di mana Selangor pernah menjuarainya enam kali berturut-turut dari 1963 hingga 1968 selain Piala Tunku Abdul Rahman (liga). - KitaReporters
KASSIM Bakar (berdiri, kiri) bersama-sama skuad negara ketika Sukan SEAP Bangkok 1967. - Kredit foto: infotakraw.com