Insan & Komuniti 24 Feb, 2021

Video| Perginya Hacksaw Butch Reed! Bekas penggusti WWF/WWE yang ketiga jadi korban Covid-19!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

'THE Natural' Butch Reed hampir bergelar juara Antara Benua jika tidak kerap ponteng pertunjukan WWF pada 1988. - Kredit foto WWE.


SEORANG lagi mantan penggusti World Wrestling Federation/Entertainment (WWF/WWE) didakwa menjadi korban Covid-19

Gerangannya bukanlah Hacksaw seperti yang ramai peminat gusti pro kenali dengan pekikan popular sekitar 80-an hingga 90-an, “Hooooooooo!” itu. 

‘Hacksaw’ Jim Duggan berkulit putih, agak boroi, gemar berjambang dan berambut panjang manakala ‘Hacksaw’ Butch Reed, seorang Afrika-Amerika yang bertubuh sasa dan berambut pendek.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan gusti

https://kitareporters.com/search?search=gusti


ZEUS (kanan) juga pernah menjadi Z-Gangsta di WCW, berdepan Hulk Hogan. - Kredit foto WWE.


Tanggal 9 Ogos 2020 lalu, Kamala menghembuskan nafas terakhirnya dek penangan pandemik itu diikuti Zeus pada 10 Disember 2020 lalu. 

Kamala ialah penggusti berkaki ayam yang berimej puak primitif rimba Uganda. ‘The Ugandan Headhunter’ menyertai WWF/WWE pada 1984, 1986 hingga 1987, 1992 hingga 1993, 2001 dan 2004 hingga 2006. 

Zeus pula pernah digelar ‘Human Wrecking Machine’ di WWF. Watak Zeus dalam ‘No Holds Barred’ itu diteruskan oleh Thomas Lister Jr. (nama sebenarnya)  ke WWF ketika memerangi hero filem itu yang juga legenda popular gusti pro, Hulk Hogan pada 1989. 

Dia meninggal pada usia 62 tahun ketika bersiap bagi satu penggambaran filem. 

Menurut laporan CBS Sports, aktor lampai dan tegap ini didapati mempunyai gejala seperti Covid-19 dan sukar bernafas sebelum ditemui tidak bernafas lagi di apartmennya di Los Angeles. 


BUTCH Reed (kanan) sepasukan dengan (dari kiri), Rick Rude, King Kong Bundy, Andre The Giant dan One Man Gang dalam Survivor Series 1987. - Kredit foto Ten Bell Salute.


Terbaharu pada 5 Februari 2021, ‘The Natural’ Butch Reed pula telah pergi selama-lamanya akibat komplikasi dua serangan jantung yang dialaminya sejak Januari 2021 lagi. 

Namun keluarga Bruce Franklin Reed (nama sebenarnya) mendakwa, Covid-19 turut menjadi punca kematian penggusti yang juga pernah menggunakan nama glamor lain seperti ‘Hacksaw’ Butch Reed dan ahli tag team (beregu) Doom

“Mendiang telah diuji positif Covid-10 sekitar 12 Januari 2021,” lapor saluran TV Fox 4 di Kansas City, Amerika Syarikat berhubung kematiannya di Warrensburg, Missouri itu.

REED (kiri), pengurus Teddy Long dan Simmons sebagai beregu Doom selepas membuka topeng mereka dan bergelar juara beregu dunia WCW. - Kredit foto: Explica. 



Dia yang dilahirkan di Kansas City, Missouri pada 11 Julai 1954, meninggal dunia pada usia 67 tahun. 

‘The Natural’ yang mewarnakan rambutnya perang, beraksi di WWF dari 1986 hingga 1988 selepas tiga tahun bersama Mid-South Wrestling di mana dia memusuhi Junkyard Dog dan terjebak dalam ‘Hacksaw vs. Hacksaw’ dengan Duggan. 

Mengambil Slick sebagai pengurus, Reed terjebak dalam sengketa dengan veteran WWF seperti Tito Santana, Superstar Billy Graham dan Don ‘The Rock’ Muraco. 

Dia menewaskan Koko B. Ware dalam pertarungan tahunan WrestleMania III  sebelum berganding bahu dengan Andre The Giant, King Kong Bundy, One Man Gang dan Ravishing Rick Rude memerangi kem Hulkster pada Survivor Series 1987. 

Disebabkan beberapa kali ponteng pertunjukan WWF, Reed kempunan bergelar juara Antara Benua biarpun pihak pengurusan telah merancangnya untuk menewaskan Ricky ‘The Dragon’ Steambot.


GANDINGAN Doom, Ron Simmons dan Butch Reed (kanan) mengapit pengurus awal mereka, Woman. - Kredit foto: Explica.


Reed menyertai National Wrestling Alliance (NWA) yang kemudiannya digabungkan dengan organisasi baharu, World Championship Wrestling (WCW) - pesaing getir WWF/WWE mulai 1988 hingga 1992. 

Di WCW, dia masyhur sebagai ahli Doom - gandingannya bersama seorang lagi penggusti berkulit hitam, Ron Simmons. Bertopeng dan bertubuh sasa ala ahli bina badan, mereka mengamalkan gaya gusti pukul lawan habis-habisan. 

Doom berjaya muncul juara beregu dunia WCW pada 19 Mei 1990 dengan pencabar mereka termasuk Steiner Brothers, The Road Warriors, Samoan Swat Team dan Fabulous Freebirds serta The Four Horsemen. 

Reed dan Simmons tiba-tiba berbalah dan Doom yang mulanya diuruskan Woman sebelum berpindah tuan kepada Teddy Long, berpecah. Mereka bertarung dalam sangkar besi Thunder Doom Superbrawl yang dimenangi Simmons.

Imej Doom ini kemudian dihidupkan semula WWF/WWE apabila Simmons menukar nama pentasnya kepada Farooq Asad dan bergandingan dengan seorang penggusti berkulit putih yang cuba dijenamakan semula daripada Justin 'The Hawk' Bradshaw.  

Farooq dan Bradshaw menubuhkan Acolytes atau kemudian APA (Acolyte Protection Agency), juara beregu WWF/E dari 1998 hingga 2004. 

Reed juga pernah menyarung jersi pasukan Kansas City Chief dalam Liga Bola Rempuh Kebangsaan (NFL) Amerika Syarikat pada 1976 tetapi kecederaan buku lali dan lutut pantas memendekkan hayat kariernya dalam sukan itu. 

Selepas karier gusti pro berakhir pada awal 2013 di sirkit-sirkit bebas, Reed juga sempat berjinak-jinak dengan sukan koboi rodeo (menunggang lembu liar). - KitaReporters


WAJAH Butch Reed ketika menyertai sukan koboi rodeo. - Kredit foto Steel Chair Wrestling. 

0
0
1
0
0
You will be interested