PEPATAH Melayu berkata: “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.” Pepatah itu bermaksud buat kebaikan sekadarnya dan jangan berlebih-lebih sehingga ada pihak mengambil kesempatan menggunakan kebaikan kita untuk kepentingan diri mereka (oportunis). Sebaiknya jangan pula kita berbuat jahat dengan membalas kejahatan itu dengan perkara-perkara keji seperti dendam dan sebagainya. : KitaReporters
Gambar hiasan.
Lagi kisah-kisah berkaitan Britain:
https://kitareporters.com/search?search=britain
Di Ashton-under-Lyne, Great Manchester, Britain, sepasang kekasih geladangan, Natalie Wightman, 39, dan Michael Rowbotham, 44, ditangkap oleh pihak berkuasa serta dipenjara kerana mencederakan rakan serumahnya Michael Halliwell, 34, di kediaman flat yang ditumpangi mereka.
Pasangan ini naik berang dan mengamuk apabila dadah (heroin) milik mereka yang bernilai 200 paun sterling (RM1,096) didapati hilang dan mengesyaki dicuri oleh rakannya (Halliwell) sendiri.
Mereka marah dan menjerit serta meminta Halliwell mengaku bahawa dia yang mencuri dadah itu.
Natalie Wightman. - Kredit foto: Cavendish Press.
Michael Rowbotham - Kredit foto: Cavendish Press.
Halliwell menafikan dia megambil dadah tersebut, namun pasangan itu tetap berasa tidak puas hati lalu terus bertindak menangkap mangsa dengan mengikat kaki dan tangan pada kerusi menggunakan tali pinggang dan kabel wayar.
Pasangan itu mendesak rakannya supaya mengaku tetapi dia enggan dan mereka bertindak menanggalkan pakaian (Halliwell) serta membogelkannya.
Wightman dan Rowbotham terus menyeksa Halliwell dengan
menekap seterika panas ke pipinya, membakar tapak kaki dengan pemetik api rokok,
mengetuk buku lali dengan penukul dan mengelar dengan pisau di betis (tulang
kering) kakinya.
Akhirnya, Halliwell terpaksa mengaku bahawa dia yang mencuri dadah tersebut kerana tidak tahan lagi dengan azab seksaan yang diterimanya.
Tidak terhenti di situ, selanjutnya Rowbotham dan Wightman mengurung Halliwell di dalam almari stor selama sejam sehinggalah dia meminta tolong untuk dilepaskan kerana terasa sesak nafas bagaikan mahu mati dibuatnya.
Dia kemudiannya ditendang, dipijak dan ditolak masuk ke dalam bilik sebelum dibiarkan mengerang kesakitan.
Halliwell diseksa dengan pelbagai senjata seperti penukul besi, seterika panas,pisau dan pemetik api rokok sewaktu dia diikat di rumahnya. - Gambar hiasan.
Mangsa cuba melarikan diri daripada pasangan ‘gila’ ini ketika mereka sedang tidur. Tapak kakinya luka serta berdarah akibat dibakar dan menyebabkan dia terpaksa berjalan terhincut-hincut.
Tubuhnya pula mengalami lebam-lebam serta luka tetapi dia
telah nekad mahu melarikan diri walaupun pergerakannya agak lemah dan terhuyung-hayang.
Harapannya hanya satu iaitu untuk meminta pertolongan daripada
orang awam dan menyelamatkan dirinya daripada diseksa.
Setibanya dia di kawasan dobi awam, orang ramai yang berada
di situ agak terkejut melihat keadaannya dan terus menghantarnya segera ke
hospital Tameside.
Halliwell memberitahu pihak hospital bahawa dia mengalami
kecederaan disebabkan perbuatan kedua-dua rakannya.
Seorang doktor bertugas di hospital itu telah menghubungi pihak polis dan melaporkan kejadian tersebut kerana terdapat elemen jenayah.
Dalam satu kenyataan kepada pihak polis Halliwell berkata, beliau begitu takut untuk melarikan diri kerana bimbang dirinya akan terus dicederakan oleh suspek.
Dia juga bimbang jika kes tersebut dilaporkan kepada polis akan
memberikan kesan buruk kepada dirinya.
“Saya diberi amaran akan dicederakan lagi jika kes ini
dibawa ke mahkamah.
“Saya mengalami kesan luka dan cedera di muka serta tubuh
badan akibat perbuatan pasangan itu dan akan meninggalkan kesan parut kekal
terutama di bahagian muka setiap kali melihat di hadapan cermin.
“Selain itu terdapat kecederaan teruk pada bahagian kaki,
betis dan paha dan mereka juga mengugut
ingin memotong jari kaki,” jelas beliau ketika disoal oleh pihak polis.
Di mahkamah Manchester Minshull Street Crown, peguam
pendakwa, Duncan Wilcox mendedahkan punca kejadian mangsa diseksa dengan teruk
adalah berpunca daripada dadah yang dibeli dengan harga 200 paun sterling pada
13 Februari 2019 telah hilang di rumah Halliwell yang ditumpangi mereka.
“Kemarahan pasangan itu memuncak sehingga bertindak di luar
batasan sebagai seorang manusia yang normal dengan melakukan penyeksaan dan
kecederaan ‘sadis’ ke atas mangsa.
“Lebih malang lagi pasangan ini adalah penagih dadah tegar
dan berkemungkinan besar tindakan mereka di bawah pengaruh dadah,” jelas Wilcox
kepada hakim.
“Kejadian disedari (dadah hilang) pada jam 10 malam apabila kedua-dua pasangan ini telah keluar dari bilik mereka dan apabila kembali semula didapati dadah tersebut sudah tiada,” tambah beliau.
Hakim mahkamah Manchester, Angela Nield akhirnya telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Natalie Wightman selama tujuh setengah tahun, manakala teman lelakinya Michael Rowbowtham dengan alamat terakhir di Wilmslow Road, Fallowfield pula dikenakan sembilan tahun setelah mereka didapati bersalah.
Kedua-dua defendan diwakili peguam masing-masing dalam
prosiding perbicaraan di mahkamah tersebut dan mereka memohon rayuan hukuman
diringankan kerana ingin menjalankan rawatan pemulihan kesan penagihan dadah kelas
‘A’.
Hakim Nield turut mengingatkan orang ramai tentang kesan
buruk pengambilan dadah terutama golongan penagih tegar dan masyarakat setempat
kerana ia boleh menimbulkan jenayah-jenayah lain seperti mendatangkan
kecederaan kepada orang lain, perbuatan cubaan membunuh, penggunaan senjata berbahaya dan lain-lain.
Nield turut bersimpati terhadap nasib mangsa (Halliwell) yang
diancam nyawa dan keselamatan oleh rakannya sendiri di dalam
rumah yang sepatutnya selamat untuk didiami tetapi sebaliknya meninggalkan kesan pahit dan
trauma sepanjang hayat.
Sebelum ini, Halliwell mula mengenali pasangan kekasih ini pada tahun Januari 2019 dan telah mengajak mereka tinggal bersama memandangkan Wightman dan Rowbotham hidup dalam kesusahan dan tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap. -KitaReporters
Sumber:
https://metro.co.uk/2020/12/16/homeless-couple-tortured-man-with-hot-iron-after-he-offered-them-shelter-13759330/?ico=taboola_feed_desktop_tv-soaps/emmerdale
https://www.mirror.co.uk/news/uk-news/homeless-couple-tortured-man-iron-23179245