Insan & Komuniti 08 Nov, 2020

YIDE sumbang kit bantuan! Mangsa terjejas banjir, kebakaran

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
BANJIR teruk yang melanda sebahagian kawasan di Daerah Hulu Langat, Selangor pada Rabu 4 November 2020 selain melibatkan kediaman penduduk di 10 buah kampung juga sebuah premis rumah pemulihan bekas penagih dadah turut terjejas akibat dinaiki air selepas hujan lebat. : KitaReporters
Beginilah keadaan Rumah Sahabat Ar-Riqab Hulu Langat yang terjejas akibat banjir di Daerah Hulu Langat berikutan hujan lebat kira-kira lima jam. Kredit Foto: Yayasan Islam Darul Ehsan.

Lagi cerita-cerita berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Premis yang dikenali sebagai Rumah Sahabat Ar-Riqab Hulu Langat kendalian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diwujudkan sejak 1996 itu bertujuan untuk memulihkan bekas penagih-penagih beragama Islam yang ingin berubah dan kembali ke pangkal jalan.

Bangunan dua tingkat ini merupakan premis rawatan pemulihan bagi bekas penagih dadah yang dijalankan melalui kaedah kerohanian dan bimbingan ilmu agama turut terjejas kerana ditenggelami air pada bahagian tingkat bawah.
Pada hari kejadian, pihak Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) melalui Pengurus Operasinya, Md. Ariffin Jaafar mewakili pihak pengurusan tertinggi yayasan mengadakan lawatan mengejut setelah mendapat maklumat rumah berkenaan terjejas akibat banjir.
Pada kunjungan itu, beliau juga menyumbangkan kit bantuan berupa pelbagai barangan dan wang tunai kepada pihak pengurusan Rumah Sahabat Ar Riqab Hulu Langat berkenaan.

Md. Ariffin Jaafar (kanan) bersama pengurusan Rumah Sahabat Ar-Riqab Hulu Langat yang terjejas semasa banjir melanda Daerah Hulu Langat.
Pihak YIDE juga pada hari yang sama, turut menghantar kit bantuan musibah yang antaranya berisi tuala, kain pelikat, sepasang baju harian, selimut, kit pembersihan dan penjagaan diri kepada 50 keluarga terjejas banjir di Daerah Sepang.
Md. Ariffin mewakili YIDE juga ditugaskan menyerahkan sumbangan tersebut kepada mangsa-mangsa terlibat.
Menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang, Norafizah Abu Bakar sejumlah 180 buah rumah melibatkan beberapa kawasan dinaiki air berikutan banjir didaerah tersebut.
Katanya, penduduk yang terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Dengkil dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil.

Salah seorang mangsa banjir di Daerah Sepang menerima sumbangan bantuan musibah daripada Yayasan Islam Darul Ehsan yang disampaikan oleh Md.Ariffin Jaafar.
Terdahulu, YIDE juga menyampaikan sumbangan bantuan bencana kepada lima keluarga warga Kemboja yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Delek Kanan di Klang.

Kejadian pada awal pagi Rabu, 4 November 2020 itu memusnahkan semua rumah sewa kediaman keluarga berkenaan dan turut mengorbankan lima individu yang tidak dapat diselamatkan.

Semua mangsa yang diberikan bantuan wang tunai sekarang tinggal di rumah saudara mara berhampiran.
Sumbangan bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir dan kebakaran adalah melalui Tabung Dana Musibah YIDE. Pihak pengurusan YIDE mengucapkan terima kasih dan menghargai sumbangan daripada para penderma.
Orang ramai juga boleh berkongsi maklumat jika berlaku musibah atau malapetaka di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian hotline YIDE +6017-7569476. - KitaReporters

Salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Delek Kanan di Daerah Klang menerima bantuan wang tunai berupa sumbangan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan disampaikan oleh Md Ariffin Jaafar.

0
0
0
0
0
You will be interested