SEORANG wanita yang bergelar ibu, adalah satu anugerah mulia daripada Allah.
Ibu-ibu yang hebat inilah yang melahirkan dan mendidik generasi masa hadapan yang bertakwa dan memperjuang kebenaran.
Peranan wanita sebagai seorang ibu tidak pernah terhenti selagi dia belum menutup mata. Hakikatnya ibu perlu ada ilmu selari dengan perkembangan masa.
Islam benar-benar meletakkan wanita pada tingkat yang paling tinggi sekali. Mereka penyumbang kepada kebijaksanaan insan dalam masyarakat dan pembangunan negara.
Contohnya para pemimpin dalam masyarakat dan negara adalah hasil didikan seorang wanita yang dipanggil ibu.
Islam menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu dengan pahala agung daripada Allah S.W.T, selagi hayatnya dia tulus ikhlas mengasuh dan mendidik zuriatnya demi menggapai reda Allah.
Wanita bernama ibu adalah sebagai pendamping suami dan anak-anaknya, yang saling menguatkan kesempurnaan kehidupan seorang lelaki.
Kalau ada lelaki yang merasa dirinya hebat, tanpa ingat jasa seorang ibu yang membesarkannya, sudah tentu lelaki tersebut tidak tahu mengenang budi. Lupakah kita bahawa kita pernah menghuni di dalam perut seorang ibu!
Seorang ibu juga yang melahirkan kita ke dunia! Jadi peranan wanita sangat dahsyat.
Dalam pelukannya, lelaki yang menjadi ketua dan imam keluarga pernah satu masa dulu, ketika kecilnya merasai kehangatan dakapan ibunya, disusukan, dimandikan, dipakaikan, ditidurkan dan ketika sudah besar, wanita itu tetap menjaganya sehingga penghujung nyawanya.
Realitinya kejayaan seorang ibu, walaupun dia tidak dikenali tapi kuasanya dapat dirasakan hingga ke hujung hayatnya.
Kekuatan seorang ibu, sangat dahsyat! Mampu membentuk seorang insan hebat! Walaupun tanpa seorang suami di sisi.
Superwoman gelaran terbaik untuk mereka yang bertungkus lumus bekerja dan membesarkan anak-anak anak sendirian.
Bagi sesetengah anak mangsa poligami atau perceraian ibu adalah hero dan heroin dalam kehidupan mereka.
Islam menghormati wanita sebagai seorang ibu dengan penghormatan yang tinggi dan mulia. Rasulullah S.A.W mengingatkan umatnya, bahawa kewujudan seorang ibu boleh menjadi penentu syurga dan neraka anak-anaknya.
Seorang anak yang memuliakan ibunya, akan dapat mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sebaliknya, anak yang bersikap buruk terhadap ibunya, dia akan hidup sengsara di dunia dan akhirat.
Rasulullah S.A.W memberitahu umatnya bahawa seorang ibu adalah tempat pelaburan di akhirat bagi anak-anaknya.
Ada banyak pahala daripada Allah untuk anak-anak yang berbuat kebaikan dan ketaatan kepada kedua-dua ibu bapanya, serta bersikap mulia dan menghormati mereka.
Tahukah anda siapa yang disebutkan pertama kali oleh Rasulullah S.A.W dalam menghormati orang tuanya?
Ya! Orang pertama yang disebut oleh Rasulullah S.A.W adalah ibu. Bahkan, Rasulullah S.A.W mengatakannya sampai tiga kali. Baru kemudian, Rasulullah S.A.W menyebutkan ayah, itu pun satu kali. Ingatlah!
Anak-anak berada 9 bulan 9 hari di dalam perut ibu, dilahirkan dan disusukan selama 2 tahun. Jadi ada kekuatan luar biasa yang ada pada diri seorang ibu, yang anak-anak harus membalasnya.
Berdasarkan ini, ibu yang macam mana sepatutnya dipilih menjadi tonggak dalam keluarga. Ini sangat penting sekali. Pilihan pada tangan kalian sebagai anak.
Peranan seorang ibu, bukan kerja yang main-main malah tidak boleh diambil alih oleh pembantu, tidak boleh diambil alih oleh pengasuh.
Ibu hanya satu. Tidak dua dan tiga. Tidak juga dijual di mana-mana. Ibu sangat eksklusif.
Insya-Allah akan terbina sebuah keluarga dan rumah tangga bahagia yang dipanggil rumahku syurgaku yang sarat dengan takwa dan mendapat sakinah, mawaddah serta rahmah daripada Allah S.W.T dengan adanya seorang ibu dan isteri solehah.
Ibu adalah sekolah atau madrasah yang pertama anak-anak belajar. Sejak dalam perut ibu lagi, anak-anak sudah diajar. Setelah dilahirkan, ibu juga yang menerima kita sebagai murid pertamanya.
Inilah kekuatan wanita yang boleh menjadikan suaminya beriman, dia juga boleh membuatkan suaminya menjadi sebaliknya.
Kekuatan seorang wanita dahsyat sekali, kekuatan seorang isteri jangan ditanya. Tidak ada kata-kata yang mampu terluah.
Islam memandang bahawa wanita adalah kurniaan Allah.
Kuasa dan kehebatan seorang ibu, mampu menggegar dunia dengan kejayaan mendidik anak-anaknya dan juga menghancurkan dunia kerana kesilapan mendidik anak-anaknya.
Suami dan isteri adalah satu kombinasi hebat dalam membina rumah tangga, kedua-duanya saling mencintai, memahami dan menghormati dalam membina generasi masa depan, yang bertakwa dan berjuang di jalan kebenaran kerana Allah Taala. - KitaReporters
Normala Hamzah boleh dihubungi melalui emel: [email protected]