Insan & Komuniti 02 Jan, 2023

Video| Serambi Madinah berselawat, berzikir! Melaka anjur Malam Cinta Rasul! Bagi sambut Tahun Baharu!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf (dua dari kanan) mengetuai majlis selawat, zikir dan qasidah dalam program Malam Cinta Rasul, di Ayer Keroh, Melaka. - Kredit foto: FB KM Melaka 


SEJUK bumi Melaka dikenali sebagai Serambi Madinah dengan alunan selawat, zikir dan qasidah yang diketuai Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf. 

Cukup menginsafkan serta meruntun kalbu sehingga ada yang mengalir air mata melihat mereka (hadirin) bersatu hati menyebut kalimah-kalimah menyucikan diri; mengungkap kata-kata syukur dan puji kepada Ilahi dan juga Baginda Rasullullah.

Cahaya kebangkitan Islam seakan-akan kembali menyinari  bandar bersejarah Melaka dengan kehadiran lautan manusia tanpa berganjak seinci pun kerana asyik dan khusyuk menghayati program berbentuk kerohanian itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bacaan salawat dan zikir

Lautan manusia membanjiri program Malam Cinta Rasul, sempena meraikan Ulang Tahun MPHT ke-13  di Ayer Keroh, Melaka. - Kredit foto: FB  MPHTJ



Lebih 80,000 pengunjung membanjiri Dataran Sejarah, Ayer Keroh pada malam 30 Disember 2022 bagi menjayakan program Malam Cinta Rasul, Melaka Serambi Madinah.

Program yang diadakan sehari lebih awal bersempena ambang tahun baharu 2023 itu merupakan anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHT) juga turut meraikan Ulang Tahun Hari ke-13 Pihak Berkuasa tempatan (PBT) itu. 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, program selawat itu dipilih memandangkan ia mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat (Islam) Melaka.

“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali telah bersetuju untuk mengadakan program khas untuk semua PBT dalam Melaka melaksanakan program berselawat pada hari ulang tahun PBT masing-masing.

“Cuma pelaksanaan program khas itu kita akan lihat lebih terperinci dan meneliti serta melihat pada keperluan sebelum pelaksanaannya.


Sebahagian jemaah yang hadir di majlis berselawat secara beramai-ramai di Dataran Ayer Keroh, Melaka. - Kredit foto: FB KM Melaka


“Seperti sebelum ini (Oktober 2022)Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga telah membuat program berselawat, dan mendapat sambutan, jadi malam tadi adalah program berselawat sempena ulang tahun ke-13 Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), sekali gus menjadi acara penutup PBT Melaka tahun 2022,” katanya. 

Tambah beliau, majlis yang berlangsung selama enam jam itu bakal dimasukkan ke dalam kalender pelancongan Negeri Melaka. 

Program tersebut wajar diteruskan dan diadakan di seluruh negeri kerana ia berjaya menyatukan umat Islam dari seluruh Malaysia selain dapat memupuk perasaan ‘Mahabbah’ iaitu melalui qasidah dan zikir.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali bersama isteri, Datin Seri Utama Munira M. Yusop; dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari- KitaReporters


Mohd Ali Mohd Rustam; Sulaiman Md Ali dan isteri, antara yang turut hadir dalam program selawat, zikir dan qasidah di Ayer Keroh, Melaka. - Kredit foto: FB KM Melaka


Sumber:

https://www.facebook.com/photo/?fbid=767196811639371&set=pcb.767197651639287

https://www.melakahariini.my/program-selawat-jadi-acara-ulang-tahun-setiap-pbt-melaka-exco/

11
16
0
7
0
You will be interested