Insan & Komuniti 09 Feb, 2023

Penantian 24 tahun berakhir! Pemilik rumah Bandar Sungai Buaya dapat hak milik! Libatkan 3,580 orang!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


IMPIAN sekian lama pemilik rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor yang sabar menunggu selama lebih 24 tahun untuk mendapatkan hak milik individu akhirnya menjadi kenyataan pada 4 Februari 2023.

Seramai 300 pemilik rumah terbabit dijemput hadir ke Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Hak Milik Individu berserta dengan Notis 5A yang telah diadakan di perkarangan Pejabat Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJDB), Bandar Sungai Buaya, Rawang.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri, berkata, Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) sangat komited menyelesaikan isu tanah pembangunan Bandar Sungai Buaya bagi mempastikan pengeluaran geran hak milik individu kepada 3,580 pemilik rumah dapat diselesaikan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemilik-pemilik rumah

Awal pagi lagi pemilik rumah hadir bagi menerima surat kelulusan hak milik individu yang dinanti mereka sejak sekian lama.


Dengan kelulusan hak milik itu yang akan disusuli pula dengan pengeluaran geran hak milik individu selepas ini, pemilik rumah bakal dapat melaksanakan urusan pindah milik, jual beli, pembahagian harta pusaka dan urusan lain dengan lebih mudah.

Berbaki lagi 3,130 pemilk rumah, surat kelulusan hak milik individu akan disampaikan secara berfasa-fasa dan dijangka selesai menjelang bulan Mac 2023.

Surat kelulusan hak milik individu itu diserahkan secara berperingkat-peringkat apabila 450 pemilik telah pun menerima surat kelulusan hak milik individu dalam tiga majlis penyerahan berasingan.

Bermula pada 16 November 2022 bertempat di Dataran Niaga Serendah, 100 penerima dan kemudiannya pada 4 Disember 2022 seramai 50 penerima pula yang dilangsungkan bersempena program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Persiaran As-Salam, Bukit Sentosa serta yang terbaru 300 penerima kali berkenaan.


Sebahagian pemilik rumah hadir pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Hak Milik Individu berserta dengan Notis 5A, di perkarangan Pejabat Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJDB), Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor pada 4 Februari 2023.


Penyerahan surat kelulusan hak milik individu kali ini turut disempurnakan oleh Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad yang mewakili Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, bersama-sama Mohamad Hanafe.  

Turut hadir pada majlis berkenaan Jurutera Daerah Hulu Selangor, Ts Ahmad Faris Mohd Ghazali serta Pengarah Urusan MJDB, Sallehudin Ahmad dan Pengarah Eksekutif MJDB, Amirul Fahmi Ahmad.

Pada majlis itu, Saifuddin Shafi, berkata walaupun masih terdapat sebahagian besar pemilik masih belum menyelesaikan kos yang diperlukan, namun kecekapan pentadbiran Pegawai Daerah dan PTDHS berjaya merungkai isu berkenaan bersama pihak tuan tanah iaitu MJDB.

Jelas beliau, hasil persetujuan bersama, sebahagian besar kos telah diserap oleh MJDB dan penduduk pada hakikatnya hanya perlu membayar sekitar satu pertiga sahaja daripada kos yang sebenar.

“Inilah pentingnya penduduk memilih sebuah pentadbiran kerajaan yang memikirkan masalah rakyat secara holistik dan memikirkan penyelesaian sehingga ke akar umbinya," ujarnya.


Mohamad Hanafe menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.


Sekretariat Gabungan NGO Bandar Sungai Buaya (GNBSB), Mahmod Mat Ali yang turut hadir pada majlis itu, berkata, GNBSB banyak memainkan peranan dengan menjadi pemudah cara antara pemilik rumah dan pengurusan MJDB dalam melancarkan urusan proses permohonan geran hak milik individu itu.

Tambahnya, GNBSB telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak MJDB dan setiap kali selepas pertemuan akan memberikan pencerahan kepada penduduk melalui 16 wakil NGO ahli gabungan GNBSB.

Beliau berkata, NGO terbabit memperjuangkan isu hak milik individu itu agak lama dan menghadapi pelbagai masalah kerana pemaju asal telah muflis, namun perkara berkenaan tidak mematahkan semangat untuk berjuang demi pemilik tanah terbabit.


Mahmod Mat Ali


Katanya, sebagai NGO mereka terpanggil untuk membantu penduduk terbabit tanpa mengambil mengira bangsa dan fahaman kerana sebagai satu Keluarga Malaysia itulah adalah tanggungjawab bersama dalam memupuk rasa hormat menghormati, semangat bekerjasama serta perpaduan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor kerana membantu merealisasikan hasrat penduduk kerana wujud segelintir mereka yang pada peringkat awal masih meragui dan tidak yakin akan diberikan hak milik individu.

“Manakala dalam perkembangan terkini urusan penghantaran surat kelulusan berkenaan sudah mula disampaikan yang sekaligus menghapuskan kegusaran mereka,” ujarnya.


Saifuddin Shafi menyerahkan surat kelulusan hak milik individu kepada seorang pemilik rumah.


Sementara itu, rata-rata penduduk yang ditemui bersyukur dan terharu dengan usaha pelbagai pihak dalam membantu menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang telah berlanjutan sekian lama.

Seorang penduduk Zulkifli Abu Bakar, 62, yang sudah menetap lebih 20 tahun di Bandar Sungai Buaya berkata, akhirnya doa serta kesabaran beliau selama ini terbalas dengan hasil yang diharapkan dan menjadi berita gembira semua ahli keluarga.

“Penyerahan Notis 5A ini kira penghujungnya, syukur alhamdulillah selepas 24 tahun menanti  walaupun ramai kawan-kawan saya yang sudah pergi terlebih dahulu sebelum sempat menikmati berita gembira,” katanya sayu serta berasa terharu menerima surat kelulusan hak milik berkenaan.


Seorang pemilik rumah tersenyum gembira menerima surat kelulusan hak milik individu daripada Saifuddin Shafi.


Seorang pesara kerajaan, Suhaimi Ariffin, 62, berkata, penerimaan surat kelulusan hak milik individu itu merupakan harta paling berharga dan akan menjadi hadiah amat bernilai kepada anak beliau.

“Saya sudah lama membeli rumah di sini dan bersyukur akhirnya mendapat hak pemilikan sepenuhnya selepas bersara dan ini merupakan perjuangan serta kerjasama semua penduduk termasuk NGO terbabit dan berharap kawasan berkenaan dibangunkan,” ujarnya  dalam nada menahan sebak. - KitaReporters


Saifuddin Shafi (duduk dua dari kiri) bersama-sama tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

24
15
0
17
0
You will be interested