ORANG Sabah tidak pernah tidak nakal ketika memberi komen. Terserlah sepanjang lawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bersama-sama putera dan puterinya ke Sabah dan Sarawak menjadikan media sosial kecoh.
Ini kerana mereka mahukan dua putera Tuanku pindah menjadi sultan di Sabah dan Sarawak dan sanggup pula menukarkan dengan tiga pemimpin kesayangan mereka, gara-gara terpikat dengan putera-putera raja yang kacak dan lucu.
Nota permintaan itu diviralkan dalam media sosial dengan kata-kata, "Ambillah Sabah dan Sarawak. Jadilah sultan kami." Rata-rata permintaan itu datang daripada gadis-gadis dan ibu-ibu muda yang jatuh cinta kali pertama melihat kerabat diraja berkenaan.
Malah mereka membahagikan Sabah kepada Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Sarawak kepada Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (Tengku Mahkota Pahang).
Bagaimanapun tawaran itu ditolak oleh rakyat Pahang yang menyatakan mereka tidak restu hendak "swap" (tukar) Tengku Mahkota Pahang itu dengan siapa?
Itu yang kemudian mereka kemukakan nama tiga pemimpin tertinggi di Sabah termasuk Ketua Menterinya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin; dan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Presiden Parti Warisan sebagai ganti.
Beginilah kata seorang netizen itu, "Sebagai orang Sabah yang sejati, saya minta dengan rakyat di Pahang, apa kata kita swap (tukar), mahukan? Kami ambil Agong sekeluarga, kamu ambiklah Hajiji dan Bung Mokhtar. Jangan risau, nanti kami warping cantik-cantik dan postagenya, kami pakat-pakat bayar.
"Kami bagi free of charge (percuma) lagi Shafie Apdal, amacam deal?. PM kita ya. Kita juga baini, kazenkan. Orang di Sarawak nanti, kami bagi kat Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (Tengku Mahkota Pahang), pandai-pandailah kami cari mahu swap dengan apa ya," demikian usikan Myzah Houseware.
Tu gurauan orang Sabah dan sebaik saja kenderaan Tuanku sampai di Sarawak untuk siri kedua Kembara Borneo itu, orang lelaki di negeri itu mula merajuk dan pasrah. Mereka siap akan berpindah selepas semua anak gadis negeri itu sudah jatuh cinta dengan Tengku Hasanal.
"Pada gadis di Sabah kamu ambil Tengku Muhammad Iskandar, updatelah status di TikTok dan di Sarawak, ambillah Tengku Hasanal itu, kami lelaki, semua pindahkan kat Filipina. ambillah. Bye, kami merajuk," kata mereka yang turut mengucapkan terima kasih Tuanku sekeluarga kerana sudi melawat Borneo.
Rakyat Borneo turut memohon ampun jika terkasar bahasa sepanjang kembara Tuanku dan seluruh penduduknya mendoakan Tuanku sekeluarga panjang umur. Dan jika panjang umur akan bertemu lagi.
"Kami akan rindukan momen yang indah ini." Kata Rinaa Rahman ketika memuatk naik gambar Tuanku dalam TikTok.
Keluarga diraja makan nasi bungkus dalam perjalanan.
Jadual Perjalanan (Route) Kembara Kenali Borneo 2023
- Tarikh: 3 September 2023 – 13 September 2023 (berdurasi 11 hari)
- Jarak: Jumlah jarak melibatkan lebih daripada 2,154 km.
- Laluan: Jalan darat lebuh raya Pan Borneo yang merentasi Sabah, Brunei, dan Sarawak.
Tengku Amir Naseer Ibrahim
Di Sarawak turut mengiringi Tuanku ialah Tengku Amir Naseer Ibrahim, putera angkat Tuanku yang dianggap sebagai putera sulung dan memang terkenal dalam kalangan penduduk Pahang.
Sebaliknya, buat rakyat dari luar negeri Pahang Inderapura ini pasti tidak menyedari kewujudan seorang lagi putera dengan sosok tampan dari negeri ini.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diraikan dalam acara budaya tradisional. Malah Raja Permaisuri Agong kelihatan gembira memasak untuk disajikan pada tetamu.
Seorang netizen pula menceritakan dia membungkuskan tangannya selama dua hari supaya aura tangan Tuanku tidak hilang. Apalagi sepanjang masa "jaga" tangan itu, dia menyuruh isterinya menyuapkan makan minum selepas rasa teruja kerana dapat bersalam.
Ada yang menghadiahkan putera puteri Tuanku dengan alat pembesar suara untuk mendengar ucapan putera itu dengan lebih jelas, biskut Oreo, pewangi malah turut memberi wang. - KitaReporters
Netizen bungkus tangan dengan plastik selepas bersalam dengan Tuanku