Insan & Komuniti 27 Mar, 2025

Santapan Rohani Ramadhan! 1000 jemaah buka puasa dan cari Lailatuqadar di Masjid Sharifah Fatimah!

@mohd nawawi rusli
Berkemahiran dalam mereka bentuk poster, akhbar dan menulis dalam penerbitan universiti dan kini telah bersara.

Share this

Masjid Sharifah Fatimah di Jitra sentiasa menjadi tumpuan komuniti masyarakat untuk beribadah.


Program santapan rohani Ramadhan

Masjid Sharifah Fatimah di Jitra terus menjadi pusat pengimarahan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan mulia ini. Salah satu acara kemuncak ialah majlis berbuka puasa yang dihadiri lebih 1,000 jemaah, menandakan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak masjid telah menganjurkan pelbagai program pengisian rohani, bermula dari waktu zuhur sehingga subuh. 

Antaranya ialah program Santapan Rohani Ramadan yang disiarkan secara langsung dalam Facebook sebanyak 20 slot sepanjang bulan ini, dari Ahad sehingga Khamis. 

Program ini mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Negeri menerusi penganjuran Program Rakan Ekspresi Rakan Muda Ramadan peringkat negeri.


Program Khatam Al Quran antara program-program yang dianjurkan
Jemaah yang hadir menunggu waktu berbuka puasa

Sebelum berbuka puasa, hampir 300 pelajar dari pelbagai peringkat pengajian menyertai Majlis Khatam Al-Quran, yang menjadi salah satu acara tahunan masjid. Majlis ini kemudian diteruskan dengan tahlil harian sebelum masuk waktu berbuka.

Jemaah yang hadir turut menikmati juadah berbuka yang disediakan melalui tajaan pelbagai pihak, yang sama-sama ingin menyemarakkan suasana Ramadan. Pelbagai hidangan lazat dihidangkan, menjadikan majlis berbuka lebih meriah dan bermakna.

Selepas berbuka, solat maghrib, isyak, dan tarawih dilaksanakan dengan dipimpin oleh barisan imam pilihan, diikuti dengan sesi moreh bersama para jemaah.



Jemaah beratur mengambil hidangan pilihan masing-masing

Mengejar Lailatulqadar menjadi antara objektif utama jemaah di masjid ini, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan. 

Justeru, masjid menganjurkan program qiamullail, bermula seawal jam 3:45 pagi hingga 5:15 pagi, memberi peluang kepada jemaah untuk bermunajat dan meningkatkan amalan ibadah. Program ini diikuti dengan majlis sahur, yang turut dihadiri lebih 200 orang untuk bersahur secara berjemaah.

Masjid Sharifah Fatimah terus komited dalam memperkukuh semangat ukhuwah Islamiah dengan menyediakan ruang ibadah yang selesa serta menyusun aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat sepanjang Ramadan. 

Diharapkan, dengan usaha ini, lebih ramai jemaah dapat mengejar keberkatan Lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. - KitaReporters


Jemaah khusyuk dalam menunaikan ibadah solat tarawih


Antara jemaah wanita yang hadir menunaikan solat tarawih

17
8
0
12
0
You will be interested