Insan & Komuniti 08 May, 2025

Tolong kami! Bantu penduduk Bayan Baru! Perlukan sebuah hospital kerajaan! Ada keperluan mendesak!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this


Kepadatan penduduk, jarak yang jauh dan masyarakat menua menjadi asas yang kukuh untuk permohonan membina sebuah hospital kerajaan di kawasan Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengemukakan permohonan itu kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berdasarkan rasional tersebut.

Beliau berkata, kawasan Parlimen Bayan Baru dan sekitarnya mempunyai jumlah penduduk seramai 389,608 orang, dengan kepadatan 10,881 orang untuk 1km per segi. Sebahagian besar terdiri daripada golongan B40 dan pekerja kilang.

Menurutnya, jarak ke hospital sedia iaitu Hospital Pulau Pinang terletak sejauh 19km, manakala Hospital Balik Pulau pula sejauh 17km.

“Jarak ini menyukarkan pesakit, terutamanya golongan warga emas dan pesakit kronik, untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya dalam satu kenyataan media pada 3 Mei 2025.


Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) mendengar rasional permohonan Sim Tze Tzin ketika melawat Klinik Kesihatan Bayan Baru pada 2 Mei 2025.


Sim berkata, Daerah Barat Daya dan Bayan Baru mencatatkan peningkatan populasi warga emas. Ini menambah keperluan mendesak terhadap kemudahan kesihatan awam yang komprehensif dan mudah diakses.

“Saya telah menyerahkan surat rasmi kepada Menteri untuk menilai kebolehlaksanaan cadangan ini.

“Dr. Dzulkefly menerima permohonan saya dengan terbuka tetapi beliau mengulas bahawa kekangan utama adalah ketersediaan tanah di kawasan Bayan Baru. Kementerian Kesihatan memerlukan sekurang-kurangnya 10 ekar tanah untuk membangunkan hospital berskala besar," jelas beliau.

Sim telah memohon agar Kerajaan Negeri membantu mengenal pasti dan menyediakan tapak yang sesuai.

Beliau berkata: “Saya amat menghargai keterbukaan dan komitmen Menteri terhadap cadangan ini. 

"Saya berharap semua pihak, khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dapat berganding bahu demi merealisasikan pembinaan sebuah hospital kerajaan di Parlimen Bayan Baru, demi kesejahteraan rakyat," tambahnya. - KitaReporters


Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bergambar dengan kakitangan Klinik Kesihatan Bayan Baru.

12
18
0
9
0
You will be interested