.
HENDAK berniaga zaman sekarang bukanlah sepayah macam zaman datuk nenek kita dulu-dulu. Cuma kena tahu menggunakan peluang dan mahir dalam bidang produk yang kita buat, strategi pemasaran dengan mengekspolitasi segala teknologi khidmat niaga dalam talian kerana semua kepandaian itu di hujung jari.
Apa yang kita perlukan sekarang ialah bijak membuat video yang unik untuk viralkan produk, petah berbicara, ada ilmu mengenai produk yang dijual dan mesti rajin berterusan (konsisten) ketika membuat siaran langsung dalam media sosial.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berpendapat jika dulu kita perlukan tempat atau pejabat untuk berniaga. Sewa mahal, modal yang tidak begitu banyak dan kadangkala peluang untuk berniaga pun tidak terbuka luas kepada masyarakat terutama orang Melayu.
Tapi kini semua pilihan perniagaan sudah di depan mata. Kita mesti ambil peluang ini kerana kerajaan mahu membina satu Tamadun Bangsa Usahawan terutama di kalangan orang Melayu termasuk wanita.

Ahmad Maslan berucap semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Selayang.
Sekarang bila sekatan itu sudah terlerai, banyak cara untuk berniaga sama ada sebagai affiliate atau menjual barang keluaran sendiri dalam talian. Soal kedai dan kadar sewanya yang tidak masuk akal sudah tidak menjadi isu.
"Berniaga dari rumah. Cari saja produk yang unik dan menarik minat orang ramai. Kita buat video yang unik, petah bercakap dan mesti sentiasa buat berterusan (konsisten) kerana usaha berdikari beginilah yang menjadi niat kerajaan untuk menjadikan orang Melayu sebagai Bangsa Usahawan," katanya.
Ahmad Maslan yakin jika peniaga Melayu termasuk wanita yang melengkapkan diri dengan teknik perniagaan sebagaimana yang dilakukan sekarang akan lebih cepat melahirkan Bangsa Usahawan Melayu.
Ambil contoh katanya, Khairulaming mampu menjadi idola orang muda bukan saja bijak menviralkan produknya, cuma Sambal Nyet dan Daging Dendeng.
Tetapi gara-gara dia ada video dan berhubung terus dengan pelanggannya dalam siaran langsung, mampu meraihkan RM42 juta pendapatan tahun 2024.
"Kita sangat kagum dengan Khairulaming (KA) yang hanya menjual sambal dan daging dendeng. Kita pun tahu KA menggunakan teknik mudah dengan bantuan TikTok saja untuk memasarkan perniagaannya.
"Kita kena belajar daripada cara dia rajin dalam mempromosikan produknya dan konsisten tanpa jemu." katanya, sambil bergurau jika dia tidak terlibat dalam politik, jenama Nasi Goreng Ahmad Maslan (NGAM) mesti laris berjuta-juta ringgit.

Kisah kejayaan Khairulaming jadi contoh untuk bina Bangsa Usahawan Melayu
Opah setuju sangatlah kerana Opah pun orang Kelantan memang terkenal dengan semangat juangnya dalam terus hidup. Tanpa bantuan kerajaan negeri, mereka kena bina empayar sendirian. Orang Kelantan memang dilahirkan semula jadi kena belajar berniaga. Dari menjual nasi kerabu depan pagar rumah sehinggalah menjual sebakul sayur di atas pasar.
Ahmad berkata rakyat kena tiru cara KA buat bisnes. Dia bercakap telus sebab KA dari Kelantan (sambil bergurau dia memuji KA tapi agak sedih orang Kelantan tidak sokong kerajaan yang ada).
Malah dia bijak dalam strategi pemasaran sebab dalam dua tahun, pendapatan perniagaan daripada RM20 juta meningkat kepada RM42 juta. "Itu sesuatu yang menakjubkan." katanya lagi.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Selayang di Kuang pada 29 Jun, 2025 berkata, kerajaan mahu melihat meletakkan nama pada senarai 10 billioner teratas yang di negara ini adalah orang Melayu. Dan tiada sebab untuk gagal jika bijak mencari produk yang laris.
"Saya cuba cari produk paling laris di ChatGPT , tahu tak puan-puan apa perniagaan yang nombor satu di negara kita. Satu produk periuk belanga jenama Dessini; kedua, rawatan kulit Skintific; ketiga, dedoran; dan keempa, krim dayak serapat Kalimantan, " sambil disambut gelak ketawa oleh wanita. - KitaReporters

Ahli-ahli UMNO yang menghadiri Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Selayang.

Opah Ngomel dengan geng wanita UMNO yang hadiri mesyuarat UMNO Bahagian Selayang.