Insan & Komuniti 03 May, 2025

Bila ABAH Bersuara| Takut lalu Terowong Menora? Bakal ada laluan alternatif! Lebuh raya WISE! Bijak!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Pada musim perayaan atu cuti sekolah khususnya, Terowong Menora sesak dengan kenderaan menuju ke destinasi masing-masing.


Terowong Menora, nama sinonim bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari selatan ke utara dan sebaliknya. Siapa juga melalui PLUS akan menempuh laluan Terowong Menora di Ipoh, Perak.

Terowong menembusi Banjaran Kledang ini terletak dalam segmen laluan Ipoh-Kuala Kangsar dan sebaliknya. 

Berbeza dengan segmen lain sepanjang PLUS, laluan Terowong Menora sering dianggap ‘menakutkan’ ramai pemandu ketika melaluinya.

Ini kerana laluan tersebut dianggap sensitif dan berbahaya, ekoran banyak kes kemalangan maut direkodkan, terutama dalam kesakan lalu lintas semasa musim perayaan atau cuti sekolah.


Terowong Menora menembusi Banjaran Kledang antara Ipoh dengan Kuala Kangsar, Perak.


Kerap kali kemalangan berlaku di laluan arah utara sebaik keluar dari terowong. Mungkin kerana laluan ini berselekoh, menuruni bukit dan curam. Sedikit kelalaian memandu boleh membawa padah.

Kerana itu pemandu dituntut berhati-hati, elak memandu laju. Namun terdapat pemandu yang tidak ambil peduli keadaan rupa bentuk jalan. Mereka memandu laju apabila keluar dari terowong, atau mencelah-celah memotong kenderaan lain.

Sikap ini sangat berbahaya. Memandu laju di jalan berselekoh curam mudah menyebabkan kenderaan terbabas. Akibatnya bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga pengguna-pengguna lebuh raya yang lain.

Sebagai peringatan kepada pemandu untuk memandu perlahan, di permukaan jalan dibuat garis tebal ala lintasan zebra (zebra crossing) sepanjang beberapa meter. Namun terdapat pemandu tetap memandu laju walaupun tayar bergegar semasa melalui di atas garis tebal.


Kemalangan di Terowong Menora. Berhati-hati ketika memandu di kawasan terowong kerana jalannya berselekoh dan curam.


Rekod kemalangan maut di laluan Terowong Menora menimbulkan fobia dalam kalangan pemandu, tetapi terpaksa ditempuh jika mahu melalui PLUS, melainkan jika memilih menggunakan jalan persekutuan atau jalan lama.

Ekoran kerapnya kemalangan, juga untuk mengelakkan kesesakan di kawasan terowong pada musim perayaan dan cuti sekolah, banyak gesaan  disuarakan sebelum ini yang mahu dibina laluan alternatif untuk ke utara dan selatan, tanpa melalui Terowong Menora.


Tidak kira siang atau malam Terowong Menora tidak pernah sunyi sesuai kedudukan sebagai laluan PLUS ke utara dan sebaliknya.


Kerajaan sedar dan prihatin dengan isu Terowong Menora. Mengambil kira keselamatan dan keselesaan orang ramai, kerajaan setuju membina lebuh raya baharu.

Lebuh raya ini yang dikenali sebagai Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng dengan Kuala Kangsar di Perak. Pembinaan dijangka bermula Ogos 2025 setelah semua proses dibereskan, termasuk pengambilan tanah. Projek dijangka siap 2028.

Menurut Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, lebuh raya sepanjang 65 kilometer itu menghubungkan Gua Tempurung (Gopeng) dan Manong (Kuala Kangsar).

Pembinaan lebuh raya itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Lebuh raya WISE bakal mempunyai tiga lorong dua hala. Laluan ke utara bermula di Gopeng, melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya Kuala Kangsar. Begitu juga sebaliknya.


Lakaran jajaran Lebuh Raya WISE menghubungkan Gopeng dengan Kuala Kangsar. Jalur merah laluan Terowong Menora sedia ada. Jalur hijau cadangan laluan WISE.


Apabila lebuh raya itu siap sepenuhnya, pengguna dari selatan ke utara dan sebaliknya tidak perlu bimbang kerana mereka ada pilihan untuk tidak melalui Terowong Menora. Pilih sahaja laluan berkenaan di hati.

Namun yang penting, di mana pun memandu mesti sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan, tidak kira jalan lama atau lebuh raya. Benar, kemalangan tidak berbau. Tetapi sikap berhati-hati mampu membantu mengelakkannya.

Jalan raya atau lebuh raya boleh dibina atau ditambah baik. Tetapi walaubagaimana hebatnya jalan raya, akhirnya sikap pemandu yang menentukan keselamatan di jalan raya. 

Pandu cermat insya-Allah jiwa selamat.--KitaReporters

8
9
0
19
0
You will be interested