Insan & Komuniti 14 Oct, 2024

Apa punya bapak! Dera anak usia 6 tahun! Ditahan bersama isteri baharu! 3 botol air ketum dirampas!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian dan Harian Watan. Emel: awangani@gmail.com

Share this


Jangan dera. Begitulah amaran demi amaran yang diberikan kepada orang ramai. Namun begitu, mereka yang terlibat seolah-olah tidak endah dengan amaran tersebut.

Akibatnya polis Daerah Kerian di Perak telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Ladang Kalumpong, Bagan Serai pada Khamis, 10 Oktober 2024 lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Juna Yusoff berkata, kedua-dua suspek lelaki berumur 47 tahun dan wanita berumur 33 ditahan oleh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian (IPD) pada pukul 5.30 petang itu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang merupakan bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak itu ditahan selepas polis menerima laporan mengenai kes penderaan ke atas kanak-kanak berkenaan pada pukul 4 petang tersebut.

Katanya, pihaknya turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa dan tiga botol cecair disyaki cecair ketum semasa serbuan itu.



“Mangsa telah dibawa ke Hospital Taiping dan hasil pemerikaan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian muka, dada, perut, kedua-dua tangan, kaki dan paha akibat dipukul.

“Mangsa kini ditahan di hospital dan mangsa dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Oktober 2024.

Juna berkata, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman lima hari sejak 10 Oktober sehingga 15 Oktober 2024 ini.

Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat orang ramai diminta menghubungi IPD Kerian menerusi talian 05-7212222. - KitaReporters

11
20
0
13
0
You will be interested