Bagi kebanyakan guru baharu, menerima surat penempatan jauh dari kampung halaman apatah lagi ke pedalaman Sarawak, mungkin antara perkara yang paling menyesakkan dada.

Itulah yang dialami Cikgu Saffuan, walaupun pernah menyatakan kesanggupan untuk mengajar di mana-mana sahaja termasuk kawasan pedalaman, penempatan ke Sarawak tetap menjadi satu kejutan besar yang tidak pernah dijangkanya.
Melalui satu hantaran dalam TikTok miliknya, @cikgusaffuan, beliau mengakui pada mulanya terkejut dan agak berat hati apabila mendapat tahu akan berkhidmat jauh dari tanah kelahiran. Namun, pengalaman itu akhirnya menjadi antara bab paling berharga dalam hidupnya.
“Posting ke Sarawak adalah perkara yang paling saya tak jangka akan berlaku. Walau pun saya pernah jawab saya sanggup mengajar di pedalaman atau mana sekalipun, ini adalah big surprise dalam hidup saya.
"Namun, perjalanan saya di sini adalah sesuatu yang juga saya tak pernah jangka,” katanya.

Ketika ditempatkan di SK Long Sepiling di Baram, beliau mendapati jumlah murid sangat kecil. Pada tahun 2015, tidak sampai 10 orang pun jumlah pelajar.
Awalnya beliau menyangka tugas mengajar akan jadi mudah kerana muridnya sedikit, namun sangkaannya meleset sama sekali.

“Nak buat hari sukan pun tak boleh sebab tak cukup
peserta,” katanya berseloroh.
Situasi itu sedikit sebanyak membuatkan beliau hampir berputus asa. Setiap usaha terasa seperti tidak membawa hasil, dan semangatnya pernah jatuh.

Namun, beliau akhirnya memilih untuk terus bertahan
dan mencari jalan baharu bagi menyalakan semula minat murid terhadap sekolah.
Bersama rakan-rakan guru lain, mereka mula memperkenal aktiviti kelab alam sekitar, pertandingan video dan juga robotik, apa sahaja yang boleh menarik minat pelajar untuk ke sekolah dengan gembira.

Usaha itu mula menampakkan hasil apabila SK Long Sepiling menerima anugerah khas bagi Hour of Code, menjadikannya satu-satunya sekolah pedalaman yang menyertai program berprestij itu.
Hour of Code ialah gerakan global yang bertujuan untuk memperkenal ilmu komputer kepada jutaan orang melalui aktiviti pengaturcaraan (coding) selama satu jam.
Ia bertujuan untuk menghilangkan rasa takut terhadap coding (pengekodan), menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh mempelajarinya, dan untuk menginspirasi minat masa depan dalam sains komputer.
Walaupun sekolah lain menghantar ratusan penyertaan, SK Long Sepiling hanya menghantar seorang murid sahaja, namun itu sudah cukup untuk membuka mata semua pihak.

Lebih membanggakan, hasil inisiatif tersebut berjaya membawa nama SK Long Sepiling sampai ke Tokyo, Jepun, sekali gus menarik perhatian media tempatan yang menyiarkan kisah kejayaan luar biasa itu.
Sekolah kecil yang suatu ketika dulu sepi, kini mula dikenali kerana keberanian dan kreativiti guru serta murid-muridnya.

“Sejak itu, saya nampak hala tuju sekolah ni. Murid
pun makin suka datang ke sekolah,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Kejayaan kecil itu menjadi titik perubahan besar. Murid-murid semakin berani mencuba perkara baharu dan mula percaya bahawa mereka juga mampu berjaya seperti orang lain.

Perkongsiannya itu tular dengan lebih 603.6 ribu
tontonan dan ribuan komen daripada warga maya yang tersentuh dengan keikhlasan
beliau mendidik anak-anak di pedalaman Sarawak.
Kini sudah kembali berkhidmat di Semenanjung, Cikgu Saffuan yang kini merupakan pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) turut dikenali sebagai alumni KOMTEP23 dan peserta program Edufluencer 3.0 di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Walau jauh beratus-ratus kilometer dari tanah asal, pengalaman itu kekal segar dalam ingatannya.
“Ya, saya sudah berpindah, memang sangat sedih,” tulisnya membalas komen seorang pengguna.

Daripada sekolah pedalaman yang tidak cukup murid untuk bersukan, kini kisahnya sampai ke Tokyo.
Perjalanan Cikgu Saffuan membuktikan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh saiz sekolah atau jumlah murid tetapi oleh semangat seorang guru yang enggan menyerah kalah atau berputus asa.
"Hidup Cikgu Saffuan!!!" - KitaReporters