Insan & Komuniti 15 Dec, 2025

Warisan Orang Asli dan Orang Asal! Festival budaya pribumi perkaya landskap pelancongan Malaysia!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Di sebalik kemodenan dan kepelbagaian budaya Malaysia, wujud akar warisan yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri negara. 



Hakikat inilah yang ditegaskan menerusi Festival Irama Asli & Asal 2025, apabila acara tersebut melabuhkan tirainya dengan mesej jelas agar warisan masyarakat Orang Asli dan Orang Asal diangkat sebagai teras utama identiti budaya, sejarah serta kelestarian alam sekitar Malaysia.

Berlangsung dari 12 hingga 14 Disember 2025 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, festival edisi kedua ini menghimpunkan komuniti Orang Asli dari Semenanjung Malaysia serta Orang Asal dari Sabah dan Sarawak dalam sebuah perayaan budaya yang menampilkan kepelbagaian muzik, tarian, kraftangan, ilmu tradisional dan masakan etnik. 

Penganjuran festival ini diterajui oleh Yayasan Kesenian Orang Asli & Asal  (YKOA) sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan yayasan tersebut dalam usaha memelihara dan memperkasa komuniti pribumi negara.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian pembukaan, Tan Sri Lee Lam Thye, aktivis sosial, yang menegaskan bahawa festival ini bukan sekadar pameran kebudayaan, tetapi sebuah platform berimpak tinggi untuk memperkenal warisan masyarakat Orang Asli dan Orang Asal kepada khalayak lebih luas, termasuk pelancong asing.



Sumbangan komuniti Orang Asli dan Asal kekal sebagai asas penting identiti negara yang sering kali kurang diberi perhatian. 



“Kita berhimpun hari ini bukan semata-mata untuk menyaksikan persembahan muzik dan tarian. 

"Kita hadir untuk memahami sejarah, ketahanan dan semangat Orang Asli serta Orang Asal -- komuniti yang telah wujud jauh sebelum pembentukan Malaysia moden,” kata  Lam Thye. 

Beliau menekankan bahawa walaupun Malaysia dikenali dengan kepelbagaian budayanya, sumbangan komuniti Orang Asli dan Asal kekal sebagai asas penting identiti negara yang sering kali kurang diberi perhatian. 

“Bahasa, hasil kraf, muzik, tarian dan nilai yang berteraskan keharmonian dengan alam semula jadi merupakan khazanah negara yang tidak ternilai. Warisan ini bukan sahaja perlu dipamerkan -- malah perlu dihayati, dihormati dan diperkukuhkan demi generasi akan datang,” tambah beliau. 





Lam Thye turut menekankan peranan masyarakat Orang Asli dan Orang Asal sebagai penjaga alam sekitar sejak turun-temurun, sambil menyatakan bahawa ilmu tradisional mereka menawarkan pengajaran berharga dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan krisis alam sekitar global. 

Menurut beliau, kebijaksanaan komuniti ini dalam menyeimbangkan kehidupan dengan alam wajar dijadikan teladan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Dalam dunia yang berdepan dengan perubahan iklim dan krisis alam sekitar, kebijaksanaan (mereka) dalam menyeimbangkan hidup dengan alam merupakan pengajaran untuk semua rakyat Malaysia,” tambahnya. 





Nada sama turut disuarakan Pengerusi YKOA, Dr Andre Ratos, yang menyifatkan Irama Asli & Asal sebagai platform penting untuk merapatkan jurang antara budaya, komuniti dan industri pelancongan. 

“Festival ini menyatukan Orang Asli Semenanjung Malaysia dan Orang Asal Sabah serta Sarawak -- bukan sebagai komuniti yang terpisah, tetapi sebagai dua tonggak kepada satu warisan bersama,” kata Dr Andre Ratos

Beliau menambah bahawa penganjuran festival ini meneruskan legasi mendiang bapanya, Datuk Antony Ratos, yang sepanjang hayatnya bekerja rapat dengan pemimpin serta komuniti pribumi dalam memperjuang maruah, keterangkuman dan kebajikan sosial masyarakat Orang Asli dan Orang Asal di Malaysia.




Sepanjang penganjuran festival, pengunjung berpeluang menikmati persembahan muzik tradisional menggunakan alat muzik asli, tarian kebudayaan daripada komuniti Semai serta etnik dari Sabah dan Sarawak, selain demonstrasi kraf tangan tradisional, permainan warisan dan pameran makanan etnik yang mencerminkan kekayaan budaya serantau. 

Para penggiat seni dan budaya turut berinteraksi secara langsung dengan pengunjung bagi berkongsi makna dan nilai di sebalik hasil kraf serta amalan tradisi yang dipersembahkan.

Lam Thye turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) serta rakan-rakan strategik atas sokongan berterusan terhadap inisiatif yang memartabat pemeliharaan budaya, sambil menegaskan bahawa sokongan institusi yang berterusan amat penting bagi melindungi warisan pribumi. 



Mengakhiri festival tersebut, YKOA mengulangi komitmennya untuk terus bekerjasama dengan para pemimpin pribumi, belia, penggiat seni serta organisasi komuniti bagi memastikan bahasa, seni dan sistem ilmu pribumi bukan sahaja dipelihara, malah diraikan sebagai sebahagian hidup yang dinamik dan berkembang dalam identiti kebangsaan Malaysia. - KitaReporters


Lee Lam Thye (empat dari kiri) bersama Dr. Andre Ratos (tengah) dan tetamu-tetamu jemputan lain yang hadir di Festival Irama Asli & Asal 2025.

16
7
0
17
0
You will be interested