Industri
ternakan kerang di Kuala Sepetang dekat Taiping merupakan satu-satunya kawasan
ternakan kerang yang terbesar untuk pasaran import dan tempatan di Perak.
Ia menjadi sumber pendapatan dan ekonomi kepada komuniti pengusaha yang terbabit dalam ternakan itu.

Malangnya, industri
itu sedikit terjejas kerana berlakunya dipercayai beberapa kes kecurian yang
kini membimbangkan pengusaha.
Justeru itu,
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Abd Malek Ismail mahu memberi tumpuan khusus dalam
menangani isu kecurian kerang yang semakin membimbangkan pengusaha tempatan.
“Isu
kecurian kerang bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan pengusaha, malah
memberi tekanan ekonomi kepada komuniti setempat yang bergantung kepada
industri tersebut.
“Perkara itu
telah dibincangkan pada peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Exco
terbabit dengan beberapa cadangan dikemukakan bagi menangani masalah berkenaan
secara menyeluruh.
“Antara cadangan utama ialah mempercepat proses kelulusan Surat Kebenaran Lokasi (SKL) dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) oleh Pejabat Tanah dengan kerjasama jabatan berkaitan supaya mengelakkan pengusaha menunggu kelulusan terlalu lama sehingga terdedah kepada risiko kecurian kerang di situ,” katanya kepada selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Taiping di antara ACP Mohamad Nasir Ismail kepada ACP Abd Malek di Taiping pada 15 Januari 2025.

Abd Malek
berkata, Kuala Sepetang mempunyai potensi besar sebagai kawasan ternakan kerang
berkualiti tinggi.
Selain itu, beliau
berkata, pihaknya turut mencadangkan langkah pencegahan seperti kawalan
keselamatan oleh pengusaha sendiri dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV)
di kawasan ternakan bagi mengatasi kes kecurian kerang.
“Tindakan
undang-undang terhadap pencuri sukar diambil sekiranya tiada laporan polis
dibuat oleh pengusaha yang terlibat,” katanya.
Justeru itu
beliau menggesa pengusaha tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan
dijalankan.
Selain itu,
beliau berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan telah mengadakan pertemuan
dengan pengusaha kerang bagi meneliti isu permohonan baharu yang tertangguh
melebihi lima tahun.
“Isu ini
mungkin kecil, tetapi kesannya besar kepada pengusaha.
“Kita komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keyakinan pengusaha dan masyarakat terhadap keselamatan terus terpelihara,” ujarnya. - KitaReporters


Kredit foto: www.kualasepetang.com