Bersempena Hari Kemerdekaan yang bakal disambut meriah pada 31 Ogos 2025 ini, Persatuan Bekas kakitangan Kereta Api Tanah Melayu (PBKKTM) tidak lupa untuk menyantuni bekas kakitangan KTM dan balu yang dalam kategori B40 di Taiping, Perak. Usaha berkenaan di bawah Program ‘Food Bank’ PBKKTM dengan sokongan Team Tenaga Penggerak (TTP). - KitaReporters

Saaiyah Mohd Nor menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan 'food bank' yang diusahakan oleh PBKKTM.
Bersempena Hari Kemerdekaan negara yang bakal disambut meriah pada 31 Ogos 2025 ini, Persatuan Bekas kakitangan Kereta Api Tanah Melayu (PBKKTM) tidak lupa untuk menyantuni bekas kakitangan KTM dan balu yang dalam kategori B40 di Taiping, Perak.
Usaha berkenaan di bawah Program ‘Food Bank’ PBKKTM dengan sokongan Team Tenaga Penggerak (TTP) itu untuk mengagihkan bantuan makanan keperluan asas di samping kewangan bagi meringankan bebanan keluarga mereka terbabit.
Setiausaha
PBKKTM, Abd Rahim Osman, berkata program itu dilaksanakan berikutan persatuan
menerima maklum balas dari cawangan PBKKTM Perak mengenai ramai bekas
kakitangan KTM yang hidup dalam kesempitan sebagai keluarga miskin dan asnaf.
Menurutnya, keadaan itu amat memeritkan bagi isteri bekas kakitangan yang hidup sebagai ibu tunggal terpaksa bergantung kepada wang pesaraan suami mereka dengan jumlah tidak seberapa dan amat terdesak apabila terpaksa menanggung anak masih bersekolah.

Dr Abd Radzak Abdul Malek menyerahkan sumbangan kepada Shahzrul Azwan yang terlantar selepas nahas pokok tumbang.
Jelasnya, atas usaha TTP berjaya mengumpul dana untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, gula, teh, tepung gandum, kicap dan sebagainya untuk menghasilkan 30 bakul makanan asas di samping wang zakat bagi diagihkan kepada keluarga terbabit.
“Kunjungan
kami ini disulami rasa amat terharu melihat ahli, keluarga bekas kakitangan dan
termasuk dalam kalangan asnaf yang sekian lama menunggu ada pihak menghulurkan
bantuan bagi meringankan bebanan hidup mereka,” ujarnya yang turut hadir pada
program diadakan di Stesen Kereta Api Taiping (stesen lama) pada 5 Ogos 2025.
Pada program itu, penyampaian sumbangan itu dilakukan oleh Datin Saaiyah Mohd Nor, isteri Yang Dipertua PBKKTM, Dato’ Ts Dr Abd Radzak Abdul Malek; dan Datin Milaton Hassan, isteri Penasihat PBKKTM, Dato' Dr Sukarno Wagiman dengan diiringi wakil PBKKTM Taiping, Perak, Roshaniter Mohd Nusi.

Dr Radzak berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang berkhidmat dengan KTM yang berakhir dengan memegang jawatan tertinggi.
Abd Rahim berkata, walaupun sumbangan yang dapat disediakan oleh PBKKTM itu amat kecil tetapi sangat bermakna bagi bekas kakitangan KTM dalam kalangan keluarga miskin serta asnaf yang begitu teruja apabila melihat khususnya Dr Abd Radzak dan Dr Sukarno turun padang menyantuni mereka.
Menurutnya, pada kesempatan itu mereka turut menceritakan masalah kehidupan yang ditempuhi selepas suami masing bersara daripada jawatan, manakala sesetengah pula menjadi ibu tunggal, sekali gus hilang tempat bergantung meneruskan kelangsungan hidup.
Tambah
beliau, semua ahli PBKKTM dan TTP turut mengambil kesempatan menziarahi pemandu
komuter KTMB Ipoh, Shahzrul Azwan Mohd Rashid, yang terlantar di rumahnya di
Desa Jaya Jana, Kamunting kerana terputus tangan kiri selepas nahas pokok
tumbang pada September tahun lalu (2024).
“Dalam ziarah ini Dr Radzak menghulurkan sumbangan sagu hati dan pampers pakai buang kepada Shahzrul yang tidak mampu untuk bergerak seperti sebelumnya,” ujar beliau.

Dr Radzak (duduk di tengah) merakamkan kenangan bersama ahli PBKKTM dan bekas kakitangan serta keluarga yang menerima bantuan 'food bank' di stesen KTM Taiping, Perak.
Abd Rahim berkata, pada program yang berlangsung di stesen KTM Taiping itu, Dr Abd Radzak turut mengambil kesempatan menceritakan sejarah dia mula-mula berkhidmat dengan KTM pada awal tahun 60-an kepada keluarga bekas kakitangan KTM yang hadir.
Menurut Dr
Abd Radzak, dia yang bermula dengan jawatan am paling rendah dan menetap di
Taiping ketika itu menempuhi pelbagai pengalaman dalam kerjaya selain berpindah
rendah dari satu tempat ke satu tempat sebelum dapat melanjutkan pelajaran ke
universiti serta berakhir dengan jawatan tertinggi dalam KTM.
“Kini
bersama PBKKTM dia dan rakan lain yang sudah lama bersara akan terus menabur
bakti membuat kerja amal kebajikan khusus membantu ahli, bekas kakitangan KTM
dalam keluarga miskin, asnaf dan ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan,” katanya. - KitaReporters