

Alhamdulillah dan syabas kepada Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (IKUT) yang telah berjaya berdakwah sehingga mampu membawa lebih 2,000 bukan Islam mengenali dan memeluk Islam atau kembali kepada Islam (revert) sehingga kini.
Usaha ini juga sejajar dengan riwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Baginda Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang membawa maksud, "barang siapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan)." - Hadis riwayat Muslim No 2674.

Menurut pengasas IKUT, Zolkifly Md Lazim, majoriti mereka yang telah berjaya memeluk Islam sejak penubuhan IKUT pada 2010 terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan.
Namun begitu jelasnya, komuniti berbangsa Cina adalah yang paling ramai berjaya memeluk Islam dan diikuti keturunan India dan bangsa-bangsa lain.

"Pulau Pinang merupakan negeri yang IKUT sasarkan dan berjaya direalisasikan walaupun penuh dengan pelbagai dugaan.
"Kelas agama dan fardu ain juga disediakan dalam bahasa Cina dan Tamil menggunakan pendakwah yang boleh berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa tersebut.
"Kuliah jalanan loghat Hokkien kerap mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Cina dan ada antara saudara berbangsa Melayu yang boleh bercakap loghat Hokkien membantu untuk kelas fardu ain dan ilmu fekah," ujar beliau yang juga merupakan Presiden DBM Hospital Group.
Buat ketika ini dakwah bagi menyebarkan agama Islam dan memeluk Islam masih diteruskan secara kecil-kecilan di sekitar Komtar, Georgetown dan Seberang Perai.

IKUT turut membantu proses pengislaman melalui prosidur Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi memudahkan saudara baru mendapatkan dokumentasi serta latihan di Darul Hidayah, Kepala Batas.
Antara kaedah yang masih berjalan dengan lancar ialah membantu meringankan beban saudara baharu dalam kesulitan selepas memeluk Islam.
Zolkifly semasa ditemui turut berkata, ada antara saudara baharu yang dibantu bagi mendapat pekerjaan dan ada juga yang dibantu mendapatkan motosikal baru bagi memudahkan ia meneruskan rutin harian setelah motosikal lamanya rosak.

Perancangan terbesar tahun 2025 yang sedang direncanakan oleh IKUT kini ialah merealisasikan 'Mosque Tour: 1,000 Mualaf Cina Solat Jemaah'.
Sehubungan itu sokongan orang ramai dan umat Islam amat diharapkan bagi memastikan program 'Mosque Tour' (Jelajah Masjid) ini menjadi kenyataan.
Sumbangan dan sedekah jariah amat dialu-alukan serta boleh disalurkan melalui Akaun Maybank 557139230356 atas nama Persatuan IKUT Pulau Pinang. - KitaReporters