Setiap kali hujan lebat, penduduk Kampung Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara (SPU) sudah mula gundah-gulana. Bimbang dan resah sudah pasti muncul dengan tiba-tiba jika banjir kilat berlaku.

Barangan dalam rumah terutama di lantai bahagian bawah mesti segera diubah jika tidak, banyak harta benda dan kawasan sekitar akan digenangi dan ditenggelami air termasuk sekitar kawasan sedia ada.
Masalah banjir kilat bukan satu perkara baharu, sebaliknya ia telah berlarutan sekian lama sejak beberapa tahun sebelum ini.

Mansor Ismail ketika ditemui berkata, masalah ini telah pun diadukan kepada pelbagai agensi kerajaan, tetapi ia masih lagi menjadi dilema kepada penduduk setempat.
"Kami sudah adu pada kerajaan negeri, pejabat daerah, wakil rakyat, penghulu kawasan dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Tapi sampai sekarang masalah banjir kilat ini belum dapat diselesaikan. Lebih membimbangkan jika berlaku hujan lebat dalam jangka masa yang panjang, " ujar beliau.

Manakala Muhayat Jasmin yang ditemui pula berkata, semak-samun dan sampah sarap tidak diselenggara dengan baik dan menyekat aliran air sehingga mudah banjir.
Malah katanya, aduan yang dibuat oleh penduduk umpama anjing menyalak bukit, tidak ada kesan langsung.
"Dah banyak kali aduan dibuat oleh penduduk kepada pelbagai jabatan dan pihak berkuasa tempatan.
"Aduan kami macam tidak dipedulikan. Lebih berbahaya jika air naik pada waktu malam dan menenggelamkan barangan dalam rumah," jelas beliau.

Bagi mendapat penjelasan, ADUN kawasan Teluk Air Tawar, Azmi Alang ditemui sebaik sahaja mendapat aduan penduduk.
"Masalah banjir kilat ini berkait rapat dengan parit tersumbat dalam jarak yang panjang dan air bertakung kerana alirannya tidak diselenggara dengan sempurna oleh agensi dan pihak berkuasa tempatan.
"Aduan penduduk telah dibawa dalam mesyuarat yang turut melibatkan pejabat tanah dan daerah, jabatan pengairan dan saliran, jabatan kerja raya, penghulu kawasan mahupun ICU serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
"Pokok nipah yang banyak tumbuh sekitar kawasan parit dan aliran air tidak diselenggara dengan baik oleh agensi terlibat walaupun aduan dibuat sehinggakan penduduk senantiasa risau dan bimbang mengenai keselamatan mereka," ujar Azmi.

Tinjauan juga mendapati air bertakung tanpa penyelenggaraan yang sempurna menyebabkan aliran air tersekat dan boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat.
Rata-rata penduduk terlibat merayu kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama. - KitaReporters
