Sebuah video memaparkan seekor kucing bermata pelik tular dalam TikTok dan mencetuskan pelbagai perdebatan hangat dalam kalangan pengguna platform tersebut.
Video berkenaan dimuat naik oleh pengguna akaun @mrbukansapesape (Shah シャー) pada 9 Oktober 2025 lalu dengan kapsyen berbunyi, “Kucing jimak dengan ular ke gais? Awat mata dia gitu?”
Rakaman berdurasi beberapa saat itu menunjukkan seekor kucing berwarna putih bertompok hitam dan oren kelihatan tenang sambil memandang ke arah kamera.
Namun yang menarik perhatian ialah bentuk dan warna matanya yang tidak biasa. Irisnya kelihatan mendatar dan bersinar, membuatkan ramai menganggapnya seperti mata ular.
Namun selepas diperhatikan dengan lebih teliti, mata kucing itu sebenarnya lebih menyerupai mata kambing, bukan ular seperti yang disangka ramai.

“Kalau tengok betul-betul, bentuk pupil dia tu bukan
menegak macam ular, tapi mendatar macam kambing. Mungkin kecacatan genetik atau
pantulan cahaya,” tulis seorang netizen dalam ruangan komen.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih 1.4 juta tontonan, 136.2k tanda suka dan lebih 2,300 komen, dengan netizen terbahagi kepada dua kumpulan besar, yang prihatin terhadap nasib kucing itu dan yang menuduh ia hanya suntingan filter atau kesan Artificial Intelligence (AI).

“Saya tak pasti sama ada itu hasil AI atau bukan,
tapi kalau betul bawa pergi vet dan update
video lain baru open donation,” tulis
seorang netizen, menyarankan agar haiwan itu dibawa ke klinik veterinar
terlebih dahulu.
Namun ada juga yang mula meragui niat pemilik akaun tersebut, memandangkan tiada bukti jelas menunjukkan kucing itu benar-benar wujud atau dibawa ke klinik.
“Masalahnya bukan kucing dia ,” dakwa salah seorang netizen.

Manakala seorang lagi pula berpendapat kemungkinan besar video itu hanyalah gimik untuk meraih perhatian dan derma.
Susulan desakan ramai yang menuntut perkembangan terkini, Shah akhirnya tampil memberikan penjelasan.
Menurutnya, kucing tersebut bukan miliknya, tetapi haiwan jalanan yang sering datang ke kawasan tempat tinggalnya.

“Kucing tu dah ada orang ambik rasanya. Selalu aku
bagi makan dia ada. Lepas je viral malam tu, hilang dah,” katanya dalam satu
balasan komen.
Beliau turut berjanji untuk membuat kemas kini (update)
bagi membuktikan bahawa video itu bukan hasil suntingan atau AI.
“Ramai kata AI. Aku buktikan ni bukan AI. Kasi FYP kalau nak ramai tolong kucing ni,” tulisnya.

Namun beberapa hari kemudian, Shah mendakwa bahawa kucing berkenaan telah ‘diculik’ atau diambil orang lain, menyebabkan dia tidak dapat lagi mengesan keberadaan haiwan berkenaan.
“Kucing tu tak muncul-muncul. Rasanya ada orang dah ambil lepas video ni viral,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, ramai netizen melakukan pemerhatian semula terhadap video tersebut.
Mereka mendapati mata kucing itu kelihatan bertukar warna antara saat ke-5 hingga ke-7, seolah-olah ada kesan suntingan digital atau filter.

“Tengok 0:05–0:07, sah-sah filter,” komen netizen
disokong oleh beberapa yang lain.
Ada juga yang tampil menjelaskan bahawa kesan visual
seperti itu mungkin berpunca daripada pantulan cahaya atau sudut kamera, bukan
semestinya filter.
“Kalau lighting dari tepi, pupil boleh nampak mendatar. Tapi kalau dia guna mode ‘beauty’ TikTok pun boleh buat nampak macam tu,” kata netizen lain.

Sehingga berita ini ditulis, tiada perkembangan terkini yang dikongsi oleh Shah.
Ramai pengguna TikTok masih menunggu penjelasan lanjut berhubung keadaan sebenar kucing tersebut, sama ada ia benar-benar wujud, telah diselamatkan, atau sekadar kesan teknologi filter semata-mata.
Namun apa yang pasti, video berkenaan terus menjadi bualan dan membuka mata ramai tentang pentingnya menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum membuat sebarang tindakan, termasuk menyalurkan derma atau berkongsi semula dalam media sosial. - KitaReporters
