Keadaan mangsa banjir boleh mengalami kesan psikologi yang amat ketara seperti trauma kemurungan, kebimbangan melampau dan gangguan tidur kesan kejadian banjir yang telah mengakibat kehilangan harta benda atau ahli keluarga.

Seorang anggota polis memberi taklimat ringkas mengenai situasi banjir kepada ahli persatuan psikologi.
Kesannya boleh menyebabkan mereka yang menjadi mangsa banjir berasa putus asas serta hilang harga diri kerana itu sokongan emosi daripada ahli keluarga, rakan serta bantuan profesional seperti kaunseling amat penting untuk membantu penduduk terbabit.
Mengambil inisiatif dalam khidmat sosial masyarakat bagi membantu mangsa banjir, 15 mahasiswa bersama dua pensyarah daripada Persatuan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, melaksanakan misi sukarelawan pascabanjir di Kampung Sungai Muda, Slim River, pada 30 November 2025.
Misi berkenaan sebagai usaha membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian banjir baru-baru ini, sehubungan itu, misi bertujuan mempercepat proses pemulihan komuniti melalui kerja-kerja pembersihan, penyusunan semula kediaman serta sokongan awal kepada keluarga yang terkesan.
Ahli Persatuan Psikologi UPSI bergerak ke kawasan yang digenangi banjir.
Pelaksanaan misi bantuan itu adalah sebahagian daripada komitmen mahasiswa dalam memenuhi tanggungjawab sosial (SR) serta memperkukuh nilai empati dan kepimpinan melalui pengalaman lapangan.
Pensyarah di Jabatan Psikologi UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin yang menyelaras misi itu, berkata pengalaman kehilangan harta benda, pemindahan secara tiba-tiba dan rasa tidak selamat menjadikan mangsa terdedah kepada tekanan emosi yang serius.
Justeru itu, jelasnya, walaupun bantuan fizikal seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian adalah keperluan asas yang mesti dipenuhi, kesejahteraan psikologi mangsa tidak boleh diabaikan.
Tambahnya, UPSI melalui inisiatif sukarelawan seperti itu terus komited menyokong pembangunan komuniti serta memperkukuh budaya prihatin dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan usaha universiti membentuk graduan berdaya saing, berjiwa sukarelawan dan berimpak kepada masyarakat.
“Objektif utama sokongan profesional adalah untuk memulihkan dan menstabilkan emosi mangsa banjir yang terjejas akibat bencana berkenaan. Mangsa banjir sering mengalami kejutan, kebimbangan, ketakutan serta kekeliruan kerana kehilangan persekitaran yang selamat,” ujarnya.

Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin (kiri) meninjau keadaan banjir di kampung berkenaan bersama ahli persatuan psikologi.
Sepanjang operasi, sukarelawan persatuan itu terbabit dalam kerja pembersihan rumah, pengalihan perabot yang rosak, pengasingan barangan yang masih boleh digunakan serta membantu membuang sisa lumpur dan sampah pascabanjir.
Usaha berkenaan juga turut dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Balai Polis Slim Village, Ahli Jawatankuasa Kampung Sungai Muda dan penduduk setempat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar serta selamat.
Penglibatan mahasiswa UPSI bukan sahaja membantu meringankan beban mangsa, malah memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan nilai kemanusiaan, komunikasi efektif dan kerja berpasukan dalam situasi sebenar.
Aktiviti sebegini penting dalam membentuk jati diri mahasiswa supaya lebih peka terhadap isu kemasyarakatan dan cabaran yang dihadapi komuniti terjejas.

Ahli Persatuan Psikologi UPSI membersih rumah seorang mangsa banjir.
Sementara itu, penduduk kampung berkenaan menyambut baik kehadiran sukarelawan dan menzahirkan rasa penghargaan atas bantuan yang diberikan.
Mangsa
banjir, Fatimah Yaakub, yang menetap seorang diri selepas kematian suaminya
melahirkan rasa bersyukur dapat dibantu ole ahli persatuan psikologi membersihkan
rumahnya disamping memberi kata-kata semangat.
Menurut Ketua Kampung Sungai Muda, Ismail Mat Deli, kehadiran mahasiswa UPSI bukan sahaja membantu mempercepat proses pembersihan dan pemulihan, malah memberikan sokongan emosi dan psikososial kepada keluarga mangsa yang sedang berusaha bangkit semula selepas bencana.
Timbalan Dekan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan, pula menambah, sokongan psikososial memainkan peranan besar bagi memastikan mangsa banjir bukan sahaja selamat secara fizikal, tetapi turut pulih secara emosi, sosial dan mental. - KitaReporters

Ahli Persatuan Psikologi UPSI bersama-sama pegawai JKM, APM dan RELA merakamkan kenangan dengan sebahagian mangsa banjir di Kampung Sungai Muda, Slim River, Perak.