Insan & Komuniti 21 Jul, 2025

Lain macam ni! Majlis kahwin tampil dengan hadiah penghargaan! Cabutan bertuah untuk sukarelawan!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Kedua-dua pengantin lelaki diarak ke pelamin yang disediakan.

Majlis perkahwinan dua pasangan adik-beradik di Kampung Parit Perpat Darat, Rengit, bukan sekadar menyatukan dua hati, malah menjadi medan meraikan pengorbanan dan semangat gotong-royong masyarakat kampung yang telah menjayakan majlis penuh bermakna ini.

Dalam suasana penuh harmoni dan kemesraan, seramai 38 petugas sukarela yang terlibat dalam menjayakan pelbagai tugasan seperti penyediaan makanan, penyusunan meja, pembersihan, serta logistik menerima hadiah penghargaan daripada tuan rumah sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga melalui cabutan bertuah.


Kedua pasangan pengantin bergambar kenangan dengan ibu dan bapa mertua mereka.

Majlis yang dianjurkan oleh pasangan Fathullah Sabari @ Maksom dan isteri, Asmah Kasim (Nana) ini meraikan dua anakanda mereka, Nur Afrina Fathullah bersama pasangannya, Mohd Fauzan Abdullah, serta Nur Aziera Fathullah bersama pasangan pilihan hati, Muhammad Uvais Md Zailani.

Majlis berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang di kediaman keluarga mereka di Kampung Parit Perpat Darat pada 12 Julai 2025.


Penduduk menerima baucar penginapan dua hari satu malam di Teratak Merah, Sungai Sedim, tajaan Zainal Food Kedah.
Pasangan pengantin (berbaju hitam) menyampaikan mesin basuh kepada penduduk yang bertuah.

Menurut ayah pengantin Fathullah, penyampaian hadiah ini bukan sekadar penghargaan material, tetapi lambang kasih sayang dan pengiktirafan terhadap budaya gotong-royong yang masih subur dalam jiwa masyarakat desa.

“Tanpa bantuan jiran tetangga, saudara mara dan rakan-rakan, mustahil majlis ini dapat dilaksanakan sebaik ini. Hadiah ini hanyalah tanda kecil atas jasa besar mereka,” katanya penuh syukur.

Antara hadiah menarik yang disampaikan termasuk barangan elektrik, peralatan rumah, keperluan dapur serta pakej percutian yang disediakan melalui cabutan bertuah khas untuk petugas.


Keluarga pengantin (kiri) menyampaikan kipas elektrik kepada petugas bertuah.

Antara hadiah-hadiah yang disediakan kepada para petugas bertuah. 


Majlis ini jelas memperlihat nilai murni dalam masyarakat Melayu yang sentiasa mengangkat semangat tolong-menolong, terutama dalam urusan besar seperti kenduri kendara yang menjadikan majlis ini bukan sahaja sebagai detik bahagia buat dua pasangan pengantin, tetapi turut menyatukan seluruh komuniti kampung dalam semangat kekeluargaan yang sejati. - KitaReporters


Pastinya gambar ini menjadi kenangan bagi pasangan pengantin yang diraikan.
16
7
0
19
0
You will be interested