Insan & Komuniti 18 Sep, 2025

Jadikan Nabi, Rasul idola remaja! Program percuma Prophet Stories Session! Usaha Pangsapuri Anggun!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Dalam Islam, banyak kisah menarik boleh dijadikan "bedtime stories" untuk kanak-kanak terutama daripada sirah dan sejarah hidup Nabi Muhammad SAW selain kisah-kisah nabi serta tokoh-tokoh Islam yang lain. 

Kisah-kisah ini bukan sahaja menarik dan penuh pengajaran, tetapi membentuk akhlak, memperkukuh iman, dan memberi inspirasi.



Wajah-wajah ceria anak-anak penghuni Pangsapuri Anggun yang mengikuti program Prophet Stories Session.


Kisah-kisah berkaitan nabi dan Rasul sesuai dijadikan "bedtime stories" kerana ia penuh dengan nilai moral dan akhlak mulia, menanamkan rasa cinta kepada Allah dan nabi, mendidik melalui contoh nyata dan bukan rekaan semata-mata selain menarik serta penuh unsur pengembaraan, ujian dan keajaiban.

Menyedari pentingnya kisah-kisah nabi dan rasul sebagai halwa telinga kanak-kanak, Musolla Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor mengadakan program Prophet Stories Session (Sesi Kisah-Kisah Nabi) bagi menyantuni anak-anak penghuni dan mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah.

Pengerusinya, Othman Hashim berkata, Prophet Stories Session diadakan sebulan sekali dengan memberi tumpuan kepada anak-anak penghuni berusia 17 tahun ke bawah bagi membentuk diri mereka dengan cerita-cerita Nabi yang sangat menarik, berkisah di alam nyata bukan khayalan.


Othman Hashim.


Beliau berkata, sambutan diterima amat baik dan berharap lebih ramai anak-anak penghuni dapat mengambil bahagian dan mengimarahkan program itu selepas ini. 

"Saya gembira anak-anak perempuan pun ramai berbanding ketika Musolla mengadakan program Fiqh Remaja. Ini satu perkembangan positif kerana ibu bapa membenarkan anak-anak mereka menyertai aktiviti bulanan ini.

"Mereka adalah aset masa depan, sebab itu Musolla memberi tumpuan kepada program-program berkaitan anak-anak dan remaja. 

"Memang satu kerugian jika masa terluang mereka berlalu begitu saja, ini menyebabkan hubungan mereka dengan agama dan musolla semakin jauh," katanya.


Penggunaan alat bantuan audio visual memudahkan fasi bercerita dengan lebih berkesan dan sampai kepada sasaran. 


Beliau mengakui, apabila anak-anak tinggal di bandar terutama di rumah bertingkat-tingkat seperti pangsapuri, musolla perlu membawa konsep di kampung dan mendekatkan mereka dengan rumah Allah. 

"Alhamdulillah, usaha kami berjaya dan bagi menarik lebih ramai peserta, program ini diadakan tanpa bayaran, maksudnya percuma. Sumbangan yang kami terima daripada penghuni, dipulangkan semula dengan mengadakan program-program keagamaan.

"Insya-Allah, Musolla bercadang mengadakan program ijtimak remaja sebulan sekali bagi mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti berfaedah dan ilmu agama, juga secara percuma," katanya. 


Peserta berpeluang menyemak cerita mengenai kisah-kisah nabi dalam al-Quran.


Sementara itu, Pengurus Iman Academy, Nur Syazwani Ismail berkata, pihaknya mahu program sebegini menjadikan nabi dan rasul sebagai idola kanak-kanak dan remaja, bukan kisah-kisah dongeng yang datang dari Barat seperti Superman atau Ironman. Biarkan ia realiti dan benar. 

Beliau berkata, untuk episod pertama, ia berkisah kepada kisah Nabi Adam dan anak-anaknya, bagaimana Adam dan Hawa dihasut Iblis sehingga Allah mengeluarkan mereka dari syurga. 

"Pengajarannya, anak-anak perlu menjadikan Iblis itu sebagai musuh kerana jika Nabi Adam pun mampu digoda apatah lagi kita terutama dalam usia muda dan proses pembesaran.  

"Kita ada 25 nabi yang patut dIpercayai, inilah yang kami mahu bawa kepada anak-anak. Melalui kisah-kisah nabi itu, kami mahu menanam akidah kepada mereka, walaupun tidak pernah berjumpa, hanya tahu melalui pembacaan, mereka wajib percaya," katanya.



Peserta berpeluang menyemak cerita mengenai kisah-kisah nabi dalam al-Quran.


Bagi fasilitator program itu, Wan Nursyuhada Wan Mohd Nazri, cara penyampaian Prophet Stories Session menggunakan gaya penceritaan yang santai dan menarik, bahasa yang mudah difahami kanak-kanak selain disisipkan dengan beberapa soalan mudah bagi tujuan interaksi.

"Selepas itu, kami tutup dengan pengajaran moral atau doa pendek. Bahasa santai dan mesra anak-anak supaya mereka lebih tersentuh dan seronok mendengar dengan khusyuk sehingga selesai.

"Dalam cerita anak-anak Nabi Adam contohnya, iri hati dan cemburu boleh membawa kepada dosa besar. Justeru, usah membiarkan diri kita dikuasai amarah sebaliknya belajar bersabar. Bertaubat jika melakukan kesalahan kerana Allah Maha Pengampun," katanya. - KitaReporters


Sambutan dalam kalangan peserta perempuan kian bertambah dan satu perkembangan yang positif.

10
9
0
7
0
You will be interested