Rupa-rupanya masih ada individu dalam masyarakat kita hari ini tidak tahu betapa pentingnya pili bomba. Alatan tersebut bukan saja-saja diletakkan di sesuatu tempat dan ia bukan perhiasan!
Pili bomba sangat penting dalam usaha pemadaman kebakaran kerana ia menyediakan sumber air yang diperlukan oleh anggota bomba untuk memadamkan api. Pili bomba ditempatkan secara strategik di kawasan awam bagi memastikan akses mudah dan cepat kepada bekalan air semasa kecemasan.
Menghalang pili bomba adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas.- Kredit Foto: Wikipedia
Namun, masih
ramai yang memandang enteng alatan berguna ini. Mungkin kerana mereka tidak
pernah melihat ia digunakan dan ada sesetengah individu dangkal menganggap ia tidak digunakan lagi.
Perkongsian seorang lelaki dipercayai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tentang sikap segelintir masyarakat yang tidak peka dan sensitif mengenai kepentingan pili bomba.
Dalam video yang dikongsi, kelihatan beberapa orang anggota bomba sedang membongkar pasu yang diperbuat daripada tayar di hadapan sebuah rumah di kawasan taman perumahan.

“Sikap dan perbuatan
manusia di dunia serba canggih ini masih ada lagi yang tidak tahu betapa
pentingnya pili bomba, sanggup berbuat demikian. Sekiranya berlaku sebegini
laporkan kepada JBPM,” tegasnya.
Apa yang mengejutkan, rupa-rupanya dalam pasu tayar tersebut tersembunyi pili bomba. Bayangkan kalau ada kebakaran, tidakkah ia menyukarkan kerja-kerja menyelamat oleh pihak bomba?

Perkongsian ini
mengundang amarah dan kecaman netizen. Mereka menganggap individu terbabit
tidak peka dan hairan bagaimana dia tergamak meletakkan pasu tayar dan
seterusnya menanam pokok di pili bomba tersebut.
“Aku tak faham kenapa dia tanam pokok kat pili bomba tu. Sampai sekarang jem otak aku," tulis salah seorang netizen.

Manakala ada netizen yang menyarankan orang tidak bertanggungjawab sebegini, perlu diberi pengajaran dengan menyamannya.
“Aku tak boleh fikir. macam mana tuan rumah sanggup buat macam ni. Benda ni penting kot. Saman terus,” katanya geram!
Mujur pihak bomba berjaya menemui pili bomba tersebut kerana ia benar-benar tersembunyi.
Mungkin mereka sudah ada data atau rekod kedudukan setiap pili bomba. Jadi tiada masalah untuk mereka mencari kedudukan pili walaupun ia tersembunyi.

Buat pengetahuan ramai, menghalang pili bomba adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas. Pemilik kenderaan atau individu yang sengaja menghalang akses kepada pili bomba boleh dikenakan kompaun atau denda oleh JBPM.
Tindakan ini juga boleh membawa kepada hukuman penjara jika disabitkan kesalahan di mahkamah. - KitaReporters
