Dunia perubatan terus melalui transformasi besar dengan kemunculan pelbagai teknologi baharu dan doktor perlu bergerak maju seiring dengan kemajuan teknologi itu tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan dan empati terhadap pesakit.

Demi mencapai kejayaan tersebut, kolaborasi erat antara Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Kedah terus terjalin.
Sebagai pengiktirafan terhadap wira barisan hadapan itu, lebih 80 orang doktor dari sektor kerajaan dan swasta diraikan sempena Majlis Sambutan Hari Doktor Malaysia 2025 peringkat negeri Kedah, yang berlangsung meriah di Kelab Diraja Kedah, Alor Setar pada 8 Oktober 2025 lalu.
Majlis anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Kedah yang diadakan itu bagi menghargai jasa, dedikasi dan pengorbanan para pengamal perubatan yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negara.

Penerima sijil penghargaan bergambar kenangan.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Nor’Aishah Abu Bakar ketika merasmikan majlis itu berkata, aktiviti diadakan bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan para doktor.
"Saya menyeru semua warga perubatan untuk terus mengekalkan profesionalisme, integriti dan semangat berpasukan. Bersama-sama, kita membina sistem kesihatan yang mampan, inklusif dan responsif kepada keperluan rakyat," katanya.
Menurutnya, sambutan Hari Doktor Malaysia (yang disambut pada 10 Oktober 2025) bukan hanya untuk meraikan kejayaan, tetapi juga sebagai inspirasi untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat kerana doktor adalah nadi kepada kesejahteraan kehidupan rakyat.
Beliau merakamkan penghargaan terhadap usaha murni MMA Kedah dalam meraikan golongan profesional kesihatan.
“Program ini bukan sekadar satu acara sambutan tetapi simbol penghargaan yang mendalam terhadap semua doktor yang terus berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.
"Saya memuji inisiatif MMA Kedah yang sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap mereka yang menjadi nadi sistem kesihatan negeri ini,” kata beliau lagi.

Dr. Nor'Aishah Abu Bakar menyampai sijil penghargaan kepada Dr. Sritharan Rao.
Pengerusi MMA Kedah, Dr Sritharan Rao pula menzahirkan penghargaan mendalam kepada semua doktor atas dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan rakyat terus menerima rawatan terbaik.
“Menjadi seorang doktor bukan sekadar kerjaya. Setiap hari kita berhadapan pelbagai cabaran dari kesibukan klinik hingga tanggungjawab menjaga nyawa.
"Namun di sebalik keletihan itu, terserlah semangat kemanusiaan yang luar biasa. Hari ini kita berkumpul bukan sekadar untuk diraikan, tetapi untuk memperbaharui iltizam dan inspirasi agar terus berkhidmat dengan hati yang ikhlas,” katanya.
Menurutnya, kemuncak majlis itu menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada lebih 80 orang doktor yang menunjukkan komitmen tinggi dalam bidang klinikal, pendidikan, penyelidikan dan khidmat komuniti.
"Para penerima menzahirkan rasa terharu atas pengiktirafan tersebut yang dianggap sebagai penghormatan bermakna terhadap dedikasi dan sumbangan mereka dalam dunia perubatan," katanya.

Dr. Nor'Aishah Abu Bakar (empat kiri) bergambar kenangan dengan ahli jawatankuasa MMA Kedah.
Majlis turut dihadiri pelbagai tokoh perubatan dari seluruh Kedah termasuk wakil hospital kerajaan, hospital swasta serta ahli-ahli MMA dari seluruh daerah. Suasana penuh keakraban turut diserikan dengan jamuan hi-tea dan sesi bergambar kenangan.
Dr. Sritharan Rao menambah, penganjuran majlis itu membuktikan komitmen MMA Kedah dalam menghargai jasa para pengamal perubatan, wira tanpa jubah putih, yang sentiasa setia di barisan hadapan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. - KitaReporters
Tags: