REBAH bukan bererti tersungkur terus. Patah sayap bertongkat paruh. Namun semangat yang membara dalam dada tidak pernah luntur demi mengejar cita-cita mencapai kejayaan.

Walau menanggung derita kanser, berkat ketabahan dan keyakinan diri serta doa berpanjangan, akhirnya Fatini Alya Baharuddin berjaya menggenggam segulung ijazah pada konvokesyen ke-38 Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-38 di Sintok, Kedah, 11 November 2025 lalu.
Azam dan tekad ini jadi pegangan kukuh Fatini Alya Baharuddin, 24, pesakit kanser yang menempuh pelbagai cabaran serta dugaan untuk terus bangkit berdiri mempamerkan kecekalan dan keberanian seorang penjuang walau pun pernah rebah.
Pada 11
November 2025 lalu, Fatini dengan penuh syukur menaiki pentas konvokesyen Universiti
Utara Malaysia (UUM) Sintok menerima segulung ijazah. Lebih dikenali sebagai
Tini, dia adalah antara graduan pada konvokeseyen UUM Ke-38 sesi Kelima.
Apabila
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sadkan menyebut namanya pada
konvokesyen tersebut, suasana tenang. Hadirin bagai ingin tahu kenapa namanya disebut.
Pasti ada sebab istimewa.
Rasa ingin
tahu terjawab apabila Dr. Mohd Foad memberitahu, individu yang disebut namanya
itu adalah insan istimewa yang tidak mudah mengalah. Walau rebah, walau payah,
dia bangun dengan cita-cita tidak pernah padam.
Sambil meminta seluruh dewan meraikan keberanian seorang pejuang kental, beliau meminta mereka memberi tepukan gemuruh sebagai sokongan kepada Tini.

Fatini (dua dari kiri) terharu apabila namanya disebut oleh Naib Canselor UUM yang meminta hadirin memberikan tepukan semangat serta sokongan kepada graduan yang begitu gigih bangun daripada rebah demi menggapai kejayaan.
Suasana sungguh syahdu. Dewan bergema dengan tepukan bukan sekadar tanda sokongan tetapi juga bagai luahan doa dan kasih sayang kepada Fatini.
Dia ialah
pesakit kelenjar air liur (salivary gland cancer) yang dideritai sejak
2021. Tini tidak lagi memiliki kelenjar air liur, yang selama ini membantunya
menikmati makanan, bercakap, atau menelan tanpa rasa pedih, seperti juga insan
lain.
Namun semua nikmat itu hilang. Bayangkan susahya tiada lagi air liur dalam kehidupan.
Namun itulah ujian Allah terhadap Tini. Kehadiran air liur bergantung kepada kelenjar yang berfungsi seperti kilang air liur. Tanpa kilang, tiadalah air liur. Makan juga jadi sukar.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan menghidap penyakit tersebut pada 2021 ketika negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Di waktu semua orang bergelut melindungi diri daripada virus Covid-19, Tini berjuang melawan penyakit yang menjamah tubuhnya.

Detik gembira dan bersejarah bagi Fatini Alya menerima segulung ijazah pada konkokesyen ke-38 UUM di Sintok pada 11 November.
Kerana itu perjalanan hidup Tini begitu sukar. Perjalanannya menuju kejayaan tidak mudah, terutama pada awal semester. Namun berkat usaha dan kegigihan tanpa jemu, dan dengan izin Allah, dia akhirnya berjaya menempa kejayaan.
Menerima
rawatan sambil mengharungi pembelajaran sangat memenatkan serta menguji
ketahanan diri. Dia harus melalui enam pusingan kimoterapi. Selain itu, sudah
melalui 30 sesi radioterapi di Hospital Pulau Pinang.
Dalam tempoh
tersebut, bagi memudahkan urusan rawatan, keluarganya berpindah sementara menyewa
rumah berdekatan hospital. Setiap kali berulang alik ke hospital, perjalanan
mereka adalah antara harapan dan kebimbangan.
Selepas
rawatan, tubuh Tini lemah, mulutnya perit dan tekaknya kering. Namun kepayahan
itu tidak sedikit pun jadi alasan untuk patah semangat dan berhenti belajar.
Justeru buku sentiasa diawa ke mana-mana memastikan tiada ilmu tercicir.
Setiap
selepas rawatan, walau pun diri lemah dan hilang tenaga, lembaran demi lembaran
buku tetap dibuka. Pastinya pahit lebih terasa daripada manis.
Berkat
kesungguhan dan dengan izin Allah, Fatini berjaya menamatkan pengajian dengan
membanggakan. Kejayaan ini adalah hadiah terindah untuk diri serta ibu dan
ayahnya.
Setiap kali
menerima keputusan peperiksaan semester, kegembiraan terpancar pada wajah ibu
bapa. Bagi Tini, dirinya bukan pelajar terbaik tetapi kejayaan yang diraih
dalam kepayahan yang ditanggung, sangat membanggakan ibu bapa.
Ayahnya
hanya seorang tukang gunting rambut. Ibunya suri rumah. Mereka tidak kaya harta
tetapi kasih sayang mereka tidak pernah padam, lebih bernilai daripada yang
lain di dunia. Mereka adalah pendorong kajayaan.
Ibu bapanya hanya mampu berdoa sewaktu Tini sakit. Sangat sedih rasa di hati melihat sebaik sahaja balik rawatan, Tini tetap membuka buku. Mereka pula yang menangis melihat semangat kentalnya.

Fatini Alya bersama bapa, Baharuddin (bersongkok) berpeluang berbual sambil menikmati jamuan bersama Dr. Mohd Foad Sadkan, pada konvokesyen UUM di Sintok 11 November 2025 lalu.
Bapanya merasakan hari anaknya naik ke pentas adalah hari paling bertuah dan bersejarah.
Semua penat hilang. Dia menyifatkan kejayaan anaknya sebagai bukti doa ibu bapa mampu mengatasi semua kepayahan.
Pesanan
Tini kepada yang bergelut dengan kesakitan, jangan putus asa, jangan berhenti
berjuang. Sebaliknya sentiasa percaya pada doa, kasih keluarga dan diri
sendiri.
Dia percaya
setiap yang Allah ambil akan diganti dengan yang lain. Dia hilang kilang air
liur, tetapi tidak pernah hilang harapan. Dia hilang keselesaan tubuh, tetapi
tidak hilang keberanian.
Itulah
bahagia sesudah derita, rahmat Allah kepada hambanya yang sentiasa tekun
berusaha dan tidak berhenti berdoa. - KitaReporters