Insan & Komuniti 27 Aug, 2025

Kes bendera terbalik! Tegur, lapor polis! Minta maaf, betulkan! Jalur Gemilang bukti sayang negara!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

KEHARMONIAN dan kesopanan rakyat Malaysia bukan sekadar warisan, tetapi tanggungjawab bersama untuk terus dipelihara  kepada generasi akan datang. Jika semua pihak memainkan peranan, maka perpaduan negara akan terus kukuh dan terpelihara.



Rakyat Malaysia terkenal dengan kesopanan, adab, dan keharmonian hidup berbilang kaum. Ini merupakan satu kekuatan dan identiti unik negara kita. 

Namun, untuk memelihara nilai-nilai ini agar tidak tercemar atau terancam, rakyat perlu mengelakkan menyebarkan fitnah, berita palsu, atau komen berbaur perkauman.

Penyelaras DUN Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, media sosial tidak berbahaya jika digunakan secara berhemah dengan perkongsian positif, seperti kebudayaan yang dimiliki, tradisi atau kisah perpaduan rakyat Malaysia. 


Mazwan Johar (tiga dari kiri) menyerahkan bendera kepada Timbalan Pengerusi Penduduk Jalan 8/30 Bandar Baru Bangi (KF8), Mohammad Aidi Amin Dir sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibaran Jalur Gemilang peringkat DUN Sungai Ramal.


Beliau berkata, jika ada sikap hormat menghormati antara rakyat yang berbilang kaum dan agama, negara boleh menghadapi pelbagai ancaman sama ada yang dicetuskan dari dalam atau luar.

"Negara kita dijajah selama 500 tahun sejak kejatuhan kerajaan Melaka, jadi sedikit sebanyak memang ada pengaruh yang tidak baik tapi majoriti rakyat mempunyai jati diri yang kuat, buktinya Malaysia masih menjadi negara yang mengamalkan nilai-nilai Islam dan hidup dalam harmoni.

"Jika kita lihat negara-negara lain, rakyat mereka banyak terpengaruh dengan budaya penjajah walaupun selepas kemerdekaan. Ini sesuatu yang merugikan," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibaran Jalur Gemilang peringkat DUN Sungai Ramal di Kompleks PKNS, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 23 Ogos 2025.


Mazwan Johar


Sempena majlis itu, beliau mengagih-agihkan Jalur Gemilang kepada wakil penduduk di DUN Sungai Ramal bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2025. Turut hadir, Ahli Majis MPP Zon 16, Bukhari Bachok.

Orang ramai yang hadir turut mendapat bendera percuma. Selain itu, pelbagai hadiah menarik disediakan untuk segmen cabutan bertuah sempena program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan di parkir PKNS, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Mazwan Johar mengibarkan Jalur Gemilang bersama pengunjung yang hadir sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibaran Jalur Gemilang peringkat DUN Sungai Ramal di PKNS Bangi.


Dalam perkembangan yang sama, Mazwan kesal ada pihak cuba mencetuskan sentimen perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat padahal ia boleh dielakkan jika setiap rakyat mengamalkan adab dan budi bahasa. 

"Jika ada kesilapan seperti isu bendera terbalik, tegur secara berhemah atau anda boleh membuat laporan polis, biar pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab mereka, bukannya kita mencetuskan suasana yang boleh menggugat keharmonian negara.

"Apabila sudah ditegur, sepatutnya mereka yang melakukan kesilapan, usah mengulangi perbuatan itu lagi, minta maaflah dan pastikan bendera itu betul, baru kita mengibarkannya semula," katanya lagi.

Beliau juga berterima kasih atas sokongan masyarakat berbilang kaum sejak dilantik sebagai Penyelaras DUN Sungai Ramal.


 Wakil Persatuan Penduduk Teras Jernang turut menerima bendera daripada Mazwan sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibaran Jalur Gemilang peringkat DUN Sungai Ramal di PKNS Bangi.


"Kita bekerja bukan hanya ketika menghadapi pilihan raya tetapi sepanjang masa kerana rakyat sudah bijak dan boleh menilai seseorang wakil rakyat itu membantu mereka atau sebaliknya.

"Saya berharap masyarakat di DUN Sungai Ramal dan Bangi khususnya terus menyokong usaha-usaha kerajaan Madani membantu rakyat dengan menghulurkan pelbagai jenis bantuan dari semasa ke semasa  

"Buktikan, Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diadakan serentak dengan Majlis Pelancaran Kempen Kibaran Jalur Gemilang memberi peluang masyarakat untuk mendapat barangan keperluan asas dengan harga berpatutan, sekaligus menjimatkan belanja," katanya. - KitaReporters

22
11
0
11
0
You will be interested