Insan & Komuniti 25 Jan, 2026

Ramadan datang lagi! Gotong royong siap sediakan surau diadakan! Kerja mengecat dan membersihkan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SETAHUN pantas berlalu. Bulan Ramadan datang kembali. Umat Islam di seluruh negara dijangka memulakan ibadat puasa pada 19 Februari 2026.

Masjid dan surau sudah mula membuat persiapan menyambut kedatangan bulan mulia. Pada masa sama membuat persiapan dan perancangan program bagi mengimarahkan masjid dan surau sepanjang Ramadan.


Surau Al-Falah yang juga merupakan surau Jumaat di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.


Ke arah itu, Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur sekali lagi mengorak langkah awal dengan mengadakan majlis gotong royong membersihkan surau pada Sabtu 24 Januari 2026 dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. 

Ahli Jawatankuasa (AJK) surau bersama warga kariah, terutama jemaah surau sama-sama turun padang menyertai gotong royong. 

Antara kerja dilakukan merangkumi mengecat dan membersih kawasan parkir, mengecat petunjuk arah laluan, membersih siling, kipas, lampu, dinding, cermin dan pagar. 

Juga membersih kawasan sekitar surau dengan memotong rumput, membersih tempat wuduk serta mencucui tandas lelaki dan perempuan. Di samping itu membersih lantai dan longkang serta membuang daun-daun yang bersarang dalam saluran air (gutter).


Tekun mengelap dan membersihkan kipas di ruang solat Surau Al-Falah.


Mengecat semula petak parkir, termasuk parkir untuk Orang Kelainan Upaya (OKU),  pada gotong royong Surah Al-Falah Danau Kota pada Sabtu 24 Januari 2026.


Cikgu Ghazali Katun tekun mengecat penanda arah laluan di tapak parkir Surau Al-Falah.


Sebelum memulakan kerja, mereka yang hadir menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh pihak surau. Peserta juga ada yang membawa buah tangan berupa kuih muih untuk dinikmati bersama.

Peserta memilih sendiri tugas yang hendak dilakukan menurut kesukaan masing-masing. Yang penting kesemuanya melaksanakan tugas dengan tekun, menggambarkan semangat kerjasama yang erat di kalangan jemaah surau.

Benarlah, atas semangat berat sama dipikul ringan sama dijinjing gotong royong berjalan lancar. Semua dapat disempurnakan menurut waktu ditetapkan.


Membersihkan kawasan berwuduk di Surau Al-Falah antara yang dilakukan sempena acara gotong royong.


Membersihkan kawasan pagar Surau Al-Falah serta mengecat semula pagar.


Habis bekerja, masa untuk menikmati makan tengah hari. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghulurkan pek makanan, di samping ada jemaah yang turut memberi sumbangan nasi tomato.

Surau Al-Falah, yang ditauliahkan sebagai surau Jumaat, dianggap istimewa kerana ia  merupakan ‘surau antarabangsa’. Ini kerana ramai jemaah terdiri daripada warga asing yang bekerja atau belajar dan tinggal berhampiran surau.

Antaranya dari Somalia, Palestin, negara Arab, juga negara China. Mereka merupakan komponen jemaah selain penduduk kariah. 

Warga asing ini sama-sama bersolat jemaah setiap hari. Pada bulan Ramadan mereka juga hadir berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama.


Jemaah wanita tidak ketinggalan membantu kerja gotong royong Surau Al-Falah dengan menyusun sejadah agar kelihatan lebih kemas dan teratur.


Untuk menyerikan Ramadan tahun ini Surau Al-Falah menyusun pelbagai program. Ini termasuk berbuka puasa di surau yang merupakan acara tahunan.

Pihak surau menyediakan peruntukan berbuka untuk 200 orang setiap hari dengan kebanyakan ongkosnya ditanggung oleh tajaan. Selain itu pek makanan juga disediakan untuk bersahur.

Pihak surau mengharapkan pada tahun ini (2026) lebih ramai akan memberi tajaan dan berinfak. Dengan itu diharap Ramadan tahun 2026 ini akan lebih bermakna dan lebih baik daripada tahun sebelumnya. - KitaReporters


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan pek makanan untuk makan tengahari gotong royong Surau Al-Falah.

12
10
0
15
0
You will be interested