Kerajaan sering mengumumkan pelbagai bantuan untuk rakyat yang memerlukan. Antaranya BINGKAS 3.0 dan Bantuan Penjagaan RM500 sebulan yang diuar-uarkan sebagai sokongan kepada penjaga pesakit terlantar, OKU dan pesakit kronik.

Di atas kertas, ia kelihatan cukup baik dan menenangkan hati. Namun realiti yang dilalui ramai caregiver (penjaga pesakit) yang sedang melalui kehidupan menjaga pesakit, sangat berbeza.
Apabila caregiver hadir ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bertanya atau memohon, jawapan yang sering diterima ialah:
“Kalau pesakit yang dijaga sudah menerima bantuan JKM, penjaga tidak lagi layak. Pesakit yang ada pencen juga tak layak, Kalau pesakit dah dapat bantuan JKM, penjaga tak layak.”
Di sinilah bermulanya kekeliruan dan kekecewaan.
Ramai tidak faham, mengapa bantuan untuk pesakit dianggap sudah mencukupi bagi menampung keperluan penjaga. Hakikatnya, pesakit dan penjaga atau caregiver ialah dua peranan berbeza dengan keperluan yang juga berbeza.
Bantuan pesakit biasanya untuk rawatan dan kelangsungan hidup pesakit, manakala caregiver menanggung kos lain yang tidak pernah dimasukkan dalam kiraan rasmi, antaranya kehilangan pendapatan, keletihan fizikal, tekanan emosi dan kos penjagaan harian.
Lebih menyedihkan, ramai caregiver terpaksa berhenti kerja atau menolak peluang pekerjaan demi menjaga ahli keluarga sepenuh masa.
Namun apabila mereka memohon bantuan, sistem masih menggunakan pendekatan lama iaitu satu keluarga, satu bantuan, tanpa mengambil kira realiti kehidupan caregiver pada hari ini.

Syarat kelayakan yang terlalu ketat juga menjadi punca ramai tercicir. Had pendapatan isi rumah, misalnya, sering dilihat mencukupi di atas kertas.
Tetapi kos sebenar seperti ubat-ubatan, lampin dewasa, rawatan susulan, pengangkutan ke hospital dan keperluan khas pesakit jarang diambil kira secara menyeluruh.
Akibatnya, ramai caregiver pulang dengan perasaan hampa. Mereka bukan tidak bersyukur, tetapi mereka keliru.
Bantuan diumumkan, tetapi tidak sampai kepada golongan yang paling memerlukan. Ramai juga yang menyuarakan rasa sedih dengan syarat syarat yang ketat dan tak masuk akal.
Ada yang tulis dengan perasaan sedih, "kalau dapat pencen satu ribu pun tak layak, asalkan namanya pencen itu sudah membuatkan permohonan ditolak."

Secara umum caregiver bukan meminta layanan istimewa. Mereka hanya mahu pengorbanan mereka diiktiraf secara adil.
Tanpa caregiver, pesakit tidak mungkin mampu bertahan di rumah. Tanpa caregiver, beban institusi kesihatan dan kebajikan akan menjadi jauh lebih berat.
Antara luahan hati mereka ialah: "Saya jaga ayah yang sakit terlantar, saya terpaksa berhenti kerja, ayah pula ada pencen tapi tak banyak.
"Bila saya apply bantuan penjagaan saya tak layak. Memang sedih sebab pencen ayah pun tak banyak, jaga orang sakit ni perlu guna banyak duit untuk perubatan mereka dan kelangsungan hidup yang lain."

Penulis adalah antara ribuan penjaga pesakit yang hidup dalam realiti penjagaan setiap hari dan sangat memahami kesulitan mereka yang menjaga pesakit yang terlantar dan pesakit kronik. Masalah kewangan paling penting dalam penjagaan pesakit, kerana ia menentukan sama ada pesakit boleh terus dirawat, atau sekadar bertahan hidup dari hari ke hari.
Paling penting dalam penjagaan pesakit adalah kos rawatan, ubat, pengangkutan dan keperluan harian.
Apa pun artikel ini bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia adalah seruan ikhlas daripada jiwa yang sentiasa memahami kesulitan mereka yang bergelar penjaga atau caregiver kepada pesakit.
Penulis ingin menyarankan agar pembuat dasar melihat semula polisi bantuan dengan lebih berperikemanusiaan dan mengambil kira dalam semua aspek kehidupan untuk menyalurkan bantuan.
Sudah tiba masanya bantuan untuk pesakit dan caregiver diasingkan dengan jelas.

Caregiver wajar mempunyai elaun khas yang tidak bergantung sepenuhnya kepada status bantuan pesakit.
Garis panduan yang seragam di seluruh negara juga amat diperlukan supaya tiada lagi caregiver yang pulang dengan air mata dan rasa terpinggir.
Perlu kita ingat, caregiver tidak menuntut simpati. Mereka hanya berharap pengorbanan yang senyap ini diangkat sebagai satu tanggungjawab bersama negara.
Kerana menjaga manusia yang sakit bukan kerja kecil, ia adalah kerja penuh keikhlasan, kasih sayang , penuh pengorbanan, dan wajar dihargai. - KitaReporters