Oleh DR MOHD EQWAN MOHD ROSLAN
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Agak pelik sesetengah pihak cuba mempertahan rumah ibadat yang dibina secara tidak sah.

Rumah-rumah ibadat ini mungkin terdapat pelbagai sejarah. Ada yang menceroboh sewenang-wenangnya dan ada yang mungkin diberi izin pemilik estet terdahulu.
Namun perlu diingat, keizinan bukan pemilikan.
Apabila tanah terdapat tuan baharu atau tuan sedia ada sudah tidak memberi izin, rumah ibadat tersebut perlu berhenti operasi di tempat tersebut.
Apa-apa pun penyelesaian, penceroboh tanah tidak harus diberi ganjaran sama ada dalam bentuk wang ringgit atau tanah gantian baharu.
Apatah lagi tanah awam atau tanah yang telah digazetkan sebagai rizab surau atau masjid atau fungsi-fungsi awam lain.

Amat menyakitkan hati apabila melihat pihak yang telah menceroboh diberikan ganjaran atas pencerobohan yang mereka lakukan.
Rumah Ibadat sepatutnya dibina mengikut lunas undang-undang.
Tindakan memberi ganjaran kepada penceroboh tanah seolah-olah memberi isyarat menceroboh merupakan aktiviti yang tidak salah bahkan menguntungkan.
Bukan sahaja menguntungkan, bahkan mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang atas perbuatan menceroboh.
Pihak berkuasa haruslah jujur, amanah dan yang paling penting berani menguatkuasakan undang-undang secara adil dan saksama.
Ahli politik pula perlulah bersikap mulia dengan mempertahan kedaulatan undang-undang dan bukan mempertahan pihak yang melanggarnya.
Pihak berkuasa harus membuat perancangan bandar yang lebih teratur dengan mengenal pasti taburan penduduk dan merancang pembinaan rumah ibadat berdasarkan keperluan setempat, bukannya membiarkan rumah ibadat haram terus tumbuh.
Dr. Mohd Eqwan Mohd Roslan ialah Pengarah Komunikasi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis.
