Tiga tahun lalu, ketika sudah bersara, saya telah menjadi mangsa scammer, apabila saya mencari khidmat pembantu harian, atau daily cleaner yang diiklankan dalam Facebook.

Dengan sekali tekan link yang mereka bagi, saya kehilangan seluruh duit simpanan saya di dalam bank. Kesedihan kehilangan duit beribu-ribu ringgit sangat terkesan apatah lagi duit yang hilang itu adalah simpanan untuk membiayai rawatan perubatan suami yang sakit strok, dan juga untuk kegunaan harian saya.
Tiga tahun menunggu untuk mendapat keadilan terhadap apa yang berlaku tetapi hampa. Masa tu saya dah buat report polis, sudah membuat laporan di bank dan menyiarkan dalam media, namun duit itu lesap dan sehingga kini tidak ada khabar berita mengenai tuntutan saya itu.
Jadi saya redalah duit itu hilang dan anggap tak ada rezeki buat saya. Namun saya yakin Allah akan beri rezeki yang lebih baik dan banyak kepada saya.

Dalam kaitan yang sama hari ini, makin kerap kita dengar cerita orang tua atau warga emas jadi mangsa scammer. Duit simpanan yang mereka kumpul bertahun-tahun habis lesap sekelip mata.
Memang sedih kan? Saya telah melalui peristiwa itu. Duit tu sepatutnya jadi bekalan untuk hari tua, tapi akhirnya jatuh ke tangan penipu.
Tapi bukan senang nak dapat kembali duit yang hilang ditelan scammer ni. Jadi kenapa warga emas mudah jadi mangsa?

Pertama warga emas kurang pendedahan teknologi. Ramai warga emas tak biasa atau mahir dengan aplikasi bank, WhatsApp atau panggilan automatik. Bila ada orang bercakap yang meyakinkan, mereka mudah percaya.
Satu lagi sifat mudah percaya dan baik hati orang orang tua biasanya menjadi satu kesempatan pada scammer menipu.
Orang tua macam penulis ni memang lembut hati. Bila orang minta tolong atau berlakon cemas, cerita yang sedih sedih memang cepat simpati.
Satu lagi faktor warga emas kurang info semasa. Scammer hari ni guna teknik yang sangat licik. Kalau tak selalu ikut berita atau media sosial, memang susah nak tahu. Cara mereka sangat meyakinkan dan memang boleh dipercayai seratus peratus.
Selain itu ada juga kes warga emas yang kesunyian dan ingin teman berbual. Mereka ni dah tinggal berdua sebab anak-anak semua dah tinggal dengan keluarga masing masing. Di rumah dah tak banyak kerja.
Sebab itu ada juga kes warga emas ditipu oleh scammer yang pura-pura jadi kawan, anak angkat atau pasangan cinta online.

Jadi apa cara yang terbaik nak bantu mereka elak ditipu?
1. Pendidikan atau maklumat mudah difahami
Anak-anak atau cucu kena rajin terangkan dalam bahasa yang simple. Contohnya:
“Kalau orang minta nombor OTP, jangan bagi.”
“Bank tak pernah call minta kata laluan.”
2. Sediakan nombor rujukan yang mudah di lihat dan diakses oleh warga emas.
Letak kertas dekat telefon rumah atau peti sejuk: nombor anak, polis, atau bank.
Kalau ada panggilan mencurigakan, senang dia terus semak.
3. Latih sikap “jangan cepat percaya” dan cepat kesian Perlu selidik
Warga emas kena ingat satu ayat mudah: Kalau ragu, jangan terus layan. Tutup telefon, bincang dulu dengan anak. Penting mendapat pendapat anak anak dahulu sebelum buat keputusan apa apa
4. Guna teknologi yang lebih selamat
Pasang aplikasi anti-scam atau “call blocker”.
Guna akaun bersama (joint account) dengan anak, jadi transaksi besar boleh dipantau.
5. Ahli keluarga luangkan masa dengan ibubapa dan warga emas
Kadang-kadang warga emas mudah kena tipu sebab mereka kesunyian, bosan dan tak ada siapa nak berbual dengan mereka.
Bila orang tahu warga emas ini dalam kategori kesaorangan dan mudah dipujuk mereka akan jadikan mangsa. Jadi anak anak mesti hubungi ibu bapa dan keluarga yang dah tua,
Kalau anak-anak selalu call, borak atau ziarah, mereka kurang rasa nak layan orang asing yang telefon.
Ahli keluarga yang lain juga perlu main peranan yang penting seperti adik beradik dan saudara mara yang lain. Hubungi warga emas yang mungkin rasa hidup mereka sudah tidak dipedulikan lagi.

Kesimpulannya scammer ni adalah jenis manusia atau spesis yang tidak berhati perut, zalim dan memang sentiasa mencari kesempatan terhadap mangsa yang lemah.
Jadi, ini adalah tanggungjawab anak-anak, ahli keluarga dan masyarakat untuk lindungi warga emas. Bantu mereka. Jangan biar mereka hadapi dunia digital sendirian.
Jika lihat mereka seperti ada masalah, tanya dan cuba bantu dan bagi mereka semangat untuk tidak terus bersedih atas apa yang terjadi
Bagi warga emas pula jika mereka tidak mahu mengadu pada anak-anak, mereka perlu mencari kawan-kawan rapat yang boleh beri nasihat mengenai kes-kes penipuan scammer ni.
Penulis setuju kadangkala anak-anak ada yang terlalu sibuk sehingga bukan sahaja sukar nak datang melawat ibu bapa, nak telefon mereka pun sangat sukar.
Jawapan diberi " jangan call tengah meeting. Ini dengan boss, wassup je". Kadang-kadang ibu bapa tinggalkan voice mail or mesej, berhari hari baru nak jawap. Alasannya terlalu sibuk.
Justeru perkara yang lebih baik ialah warga emas perlu belajar teknologi baharu supaya mereka lebih mahir dan tak perlu meminta tolong anak-anak atau sahabat yang sama-sama sibuk.
Belajar kawal diri untuk membeli belah dalam talian, belajar tidak menjawab telefon dari nombor yang tak dikenali dan belajar menjadi tega dan sampai hati. Jangan mudah cair jika dipujuk rayu.
Kita yang tua ni masa tak panjang lagi, teruslah beringat bahawa bila-bila masa kita boleh dipanggil pulang oleh pencipta. Hadkan kehidupan duniawi kita. - KitaReporters
