Acap kali harta pusaka mahupun tinggalan ahli keluarga adalah dalam bentuk tanah pusaka, rumah mahupun barangan kemas menjadi simpanan kaum keluarga.

Namun uniknya bagi Baharum Ahmad, 71, dia menjadi pewaris selaku pemegang amanah sejak turun temurun menjaga kitab suci al-Quran yang dipercayai antara yang terkecil di dunia.
Berkongsi mengenai asal usul pemilikan al-Quran terkecil itu, dia mewarisi kitab suci berkenaan sebelum pemergian ibunya, Zaiton Mohd Salleh, 80.
"Ketika itu Allahyarham ibu saya berada di rumah sebelum didatangi seorang pedagang ayat suci menawarkan kitab al-Quran tersebut.
"Sewaktu saya bertanya harga al-Quran itu kepada ibu saya, dia juga tidak ingat berapa harga dibelinya.
"Ibu yang melihat keunikan saiz al-Quran itu terus tertarik lalu membelinya tanpa was-was.
"Ibu saya telah meninggal dunia kira-kira 13 tahun lalu ketika berusia 80-an dan jika dia masih hidup sehingga kini umurnya mencecah 93 tahun," katanya ketika ditemui di Jementah, di Segamat.
Kongsi Baharum, al-Quran unik berkenaan hanya berukuran dua sentimeter (cm) lebar dan satu sentimeter tebal dengan hanya sebesar ibu jari dewasa.
"Al-Quran kecil ini hampir tidak kelihatan ketika diletakkan di telapak tangan manusia dewasa dan hanya boleh dibaca dengan menggunakan kaca kanta cermin atau kaca mata berkapisiti tinggi .
"Ada orang ramai yang hadir melihat al-Quran ini berpandangan ia adalah antara salah satu al-Quran terkecil di dunia di mana saiznya tidak ada dijual di mana-mana kedai di luar sana.
"Kitab suci ini disimpan di dalam kotak khas berbalut plastik bagi menjaga dan memastikan ia tidak terkesan dengan kotoran seiring peredaran masa.
"Jika hendak menyentuh al-Quran ini saya masih akan menjadi adab dengan mengambil wuduk sebelum itu,"ujarnya.

Baharum turut berkongsi pihaknya menerima banyak tawaran untuk membelinya termasuk daripada pihak muzium, tetapi dia tidak pernah terfikir untuk menjualnya kerana ia adalah kenangan Allahyarham ibunya.
Dia juga tidak 'gelap mata' dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata apabila ada yang menawarkan harga sehingga belasan ribu ringgit untuk dia menjual al-Quran unik itu.
"Al-Quran ini adalah milik generasi keluarga kami dan ia akan sentiasa bersama kami kerana kami sekeluarga menganggap kehadiran al-Quran bersaiz kecil ini sebagai satu amanah.
"Namun sejak akhir-akhir ini, muka suratnya mula reput jadi kami tidak mahu merosakkannya lalu membalut ia dengan plastik.
"Arwah ibu beramanat agar generasi keluarga kami tidak lupa untuk membaca al-Quran setiap hari meskipun bukan dari Al-Quran kecil ini tetapi naskah Al-Quran yang lainnya.
"Memiliki al-Quran unik ini menjadi simbolik kepada kami untuk tidak lupa menghayati bait-bait setiap ayat Al-Quran dimana sahaja kami berada kerana kita sebagai manusia memerlukan manfaat ayat Al-Quran sebagai pedoman hidup di dunia dan akhirat kelak," katanya. - KitaReporters