MISTERI kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai, 2025, memasuki episod baharu apabila jenazahnya digali semula pada 9 Ogos,2025 dan bedah siasat dijalankan pada keesokan harinya. Sejak kematiannya, berbagai spekulasi tercetus dengan pelbagai pihak dikaitkan dengan kematiannya membabitkan anak orang kenamaan sehingga mencetuskan gelombang ‘Justice For Zara' di seluruh negara. - KitaReporters

KEMPEN 'Justice For Zara' digerakkan bagi mencari keadilan buat Allahyarham Zara Qairina. Gambar kanan: Noraidah Lamat menunjukkan gambar beliau bersama Zara.
MISTERI kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai, 2025, memasuki episod baharu apabila jenazahnya digali semula pada 9 Ogos,2025 dan bedah siasat dijalankan pada keesokan harinya bagi mencari punca sebenar kematian.
Zara, 13, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, Sabah, sebelum itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya pada 16 Julai, 2025 dan meninggal dunia pada 17 Julai, 2025.
Sejak kematiannya, berbagai spekulasi tercetus dengan pelbagai pihak dikaitkan dengan kematiannya membabitkan anak orang kenamaan sehingga mencetuskan gelombang ‘Justice For Zara’ di seluruh Malaysia.
Pelbagai pihak sudah tampil menafikan dakwaan yang mengaitkan ahli keluarga mereka dengan tragedi yang menimpa Zara namun ia tidak mampu meredakan suhu kebangkitan rakyat atas nama menuntut keadilan.

LEBIH 3,000 orang menyertai perhimpunan solidariti di Labuan bagi menuntut keadilan untuk Zara Qairina. - Kredit foto: Bernama
Penulis sendiri dihujani dengan pelbagai pertanyaan oleh kenalan dan saudara mara yang inginkan kepastian apakah benar ada anak VIP terbabit dalam kes ini sehingga wujud dakwaan pihak berkuasa cuba melakukan ‘cover up’ bagi melindungi pihak yang didakwa melakukan jenayah itu.
Apabila memberi jawapan yang tidak ‘memuaskan hati’ mereka, penulis pula dituduh cuba ,menutup cerita sebenar.
“Masakan wartawan tak tau cerita,” kata mereka. Penulis hanya mampu tersengih. Tak guna melayan provokasi mereka kerana hakikatnya mereka tetap tidak akan berpuas hati dengan jawapan yang diberi.
Ini kerana mereka mengharapkan penulis ‘mengesahkan’ apa yang mereka dengar itu betul kerana otak mereka sudah dimanipulasi oleh pelbagai spekulasi yang berlegar menerusi alam maya berhubung kematian Zara.
Hakikatnya, tak semua benda wartawan tahu atau dapat maklumat apatah lagi orang seperti penulis yang sudah tidak berada di lapangan. Penulis sendiri seperti rakyat lain, hanya membaca pelbagai andaian, spekulasi dan tuduhan menerusi media sosial.

Tapi, penulis mengambil pendekatan hanya membaca supaya tidak ketinggalan tapi tidak sekali-kali mempercayai bulat-bulat pelbagai teori yang dihidangkan netizen, jauh sekali untuk menyebarkannya kerana belum pasti kesahihannya.
Penulis berpendapat, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita seharusnya cakna dengan seruan ‘tidak pasti, jangan kongsi’ kerana pelbagai spekulasi yang dicetuskan bukan saja mengganggu siasatan malah akan menjadi fitnah jika ia tidak benar.
Dalam isu ini, penulis melihat banyak pihak cuba ‘menangguk di air keruh’ demi kepentingan masing-masing.
Ada yang cuba mencari laba politik, ada juga yang menggunakan isu Zara untuk menaikkan rating ‘content’ mereka dan tidak kurang yang mahu menonjolkan diri sebagai pejuang.
Wartawan-wartawan 'tidak bertauliah' juga berlumba-lumba untuk mendapatkan ‘scoop story’ sehingga mengabaikan etika, sekali gus memburukkan profesi kewartawanan.
Malah, netizen yang mengulas isu ini menampilkan diri mereka sebagai ‘orang serba tahu’ dengan mengandaikan pelbagai teori, mengatasi kepakaran polis yang bertungkus-lumus untuk menyiasat kes itu. Mereka ini ibarat ‘lebih sudu dari kuah’!

ANTARA cerita palsu yang disebarkan menerusi media sosial.
Selain mengaitkan dengan orang-orang tertentu, pelbagai cerita direka untuk menambah rencah kepada misteri kematian Zara. Ia tak ubah seolah-olah plot sebuah novel yang lahir daripada khayalan penulis semata-mata, ada unsur sedih, suspen dan ‘plot twist’.
Contohnya, seorang pengguna laman maya menyebarkan maklumat kononnya mayat Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman bagi menghilangkan bukti.
Individu itu kemudian tampil menjelaskan bahawa cerita tersebut hanyalah andaian sendiri. Pengakuan dibuat kepada aktivis sosial Mona Din yang menghubungi individu berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan itu.
Malah, menerusi Mona, individu itu memohon maaf kepada keluarga Zara dan seluruh rakyat Malaysia atas hantarannya yang ternyata palsu.
Bayangkan, dalam kes seserius ini, ada pihak yang sewenang-wenangnya membuat andaian sedemikian. Kegilaan apakah ini?

PENDEDAHAN mengenai cerita palsu yang tersebar.
Turut tersebar adalah video mengandungi jeritan meminta tolong yang didakwa sebagai jeritan Zara. Ia dinafikan oleh peguam keluarga Zara, Hamid Ismail yang menganggap video berkenaan sebagai fitnah.
“Video seorang perempuan menjerit tular di TikTok, bukan Zara Qairina. Netizen diminta berhenti menyebarkan bahan berunsur fitnah, kita tidak mahu sesiapa dituduh tanpa bukti,” tegas Hamid.
Penyebaran berita palsu sebegini bukan saja mengeruhkan lagi keadaan malah mengganggu siasatan polis, juga memberi tekanan kepada keluarga Allahyarham terutama ibunya, Noraidah Lamat.
Hamid bersama rakan guamnya, Shahlan Jufri, dalam satu kenyataan dipetik meminta semua bahan yang dimuat naik dalam media sosial berkenaan dipadamkan.
"Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran di atas, kami memohon agar memadam video dan gambar terbabit. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami," menurut kenyataan itu.

SHAHLAN JUFRI peguam yang turut mengikuti proses bedah siasat Zara Qairina.
Malah, Shahlan yang berada sepanjang sesi bedah siasat yang berjalan selama lebih lapan jam di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 10 Ogos, 2025 lalu menafikan ada ‘tangan ghaib’ cuba campur tangan dalam proses itu.
"Saya boleh beritahu perjalanan 'post-mortem' (pascanilai) sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti yang dalam media sosial, seperti dakwaan ada 'tangan-tangan' tertentu, semua itu tiada.
"Saya sendiri lihat dan saksikan bagaimana arwah Zara diperiksa sehingga selesai, termasuk dengan semua prosedur yang diperlukan,” katanya menepis pelbagai spekulasi yang tercetus selepas bedah siasat itu.
Malah, keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi mengambil alih siasatan menunjukkan komitmen serta ketelusan pihak berkuasa dalam merungkai misteri kematian Zara Qairina.

Penulis berharap dengan perkembangan terkini, kita semua memberi ruang kepada pihak polis melakukan siasatan. Hentikan spekulasi, dakwaan atau cerita yang tidak sahih sebaliknya kita nantikan kebenarannya.
Jika benar Allahyarham Zara Qairina menjadi mangsa buli hingga membawa kepada kematian, keadilan perlu ditegakkan untuk dirinya tanpa mengira siapapun yang terlibat.
Untuk sementara, marilah kita bertenang sambil menitipkan doa agar roh Zara dicucuri rahmat dan dia dihimpunkan bersama golongan beriman serta dikurniakan Allah SWT syurga untuknya. Al-Fatihah. - KitaReporters