Hebat sekali warga Persatuan Suri dan anggota wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), penjawat awam daripada 10 pejabat daerah, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri Johor.


Begitu juga dengan 500 warga Southern Volunteers Kota Iskandar yang turut sama kerana telah berjaya memasak dan menyediakan 34 periuk bubur lambuk pada 6 Mac 2026.
Kelainan yang berjaya ditampilkan kali ini ialah turut bersama-sama membuat dan mengacau dodol secara gotong-royong.
Adalah difahamkan program mengimarahkan bulan Ramadan sebegini dengan penglibatan ratusan sukarelawan serta penjawat awam menjadi platform untuk merapatkan ukhwah apatah lagi menjelangnya lebaran tidak lama lagi.



Sementara itu, bersyukurlah akan nikmat Allah, "jika benar kamu hanya menyembahnya semata-mata", dari surah Al-Nahl ayat 114 memang tepat.
Sejajar dengan ayat tersebut juga iktibar diambil dengan berkongsi nikmat melalui program Singgah Sahur Daerah Alor Gajah, Melaka pada 7 Mac 2026.
Tepat pada jam 3.00 pagi sempena Ihya Tarbawi Ramadhan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah turun padang dan singgah di Balai Polis Durian Tunggal untuk menyantuni anggota bertugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
'


Tidak lama selepas itu turut disantuni ialah wad kecemasan, Hospital Alor Gajah. Kemudian anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Alor Gajah yang sedang bertugas pula disantuni.
Tidak setakat itu, pelajar Sekolah Menengah (SM) Tahfiz Al-Quran Al-Abqori, Jabatan Agama Islam Melaka di Tanjung Bidara pula disantuni dengan bersahur bersama-sama.
Terbukti menjelang 10 hari terakhir Ramadan tidak menjadi hambatan bagi meraih ganjaran pahala yang telah dijanjikan bagi mereka yang benar-benar beriman. - KitaReporters

